
Buminya di Tanah Melayu; eranya riak empatpuluhan; kisahnya cinta dan duka manusia. Segalanya bermula dalam gelora awal Perang Dunia Kedua, di mana segelintir manusia amat sederhana mula menanggung luka peribadi dan lara bangsa. Suhaidah, janda derita menanti bayi kedua; Wagiman, bekas pejuang masih membara; Rashimah, isteri setia terus terdera; Dzulkifli; pewaris amanah membangun madrasah - mereka mambauri kisah manusia dekad empat puluhan ini dengan batin yang berdegup cemas sebelum meledak bom pertama di Malaya. Mereka adalah himpunan manusia gamam di bawah sergahan awan perang. Secara berdikit, kalungan kisah-kisah sederhana seputar mereka menyerlahkan makna kehidupan sebuah masyarakat kecil pelbagai kaum, pelbagai budaya, pelbagai karenah. Dengan bahasa jernih limapuluhan, imbas hasrat Malindo dan langgam barat, dalam citarasa ASAS 50, novel ini merakamkan sebuah kehidupan sebelum Perang Dunia Kedua sesetianya. Hanya sesekali sebuah karya sastera sempat serentak menggabungkan kehidupan dan kesenian.