
Part of Series
Anding Ayangan II, kisah yang sangat mengujakan dan dibayangi dengan imaginasi yang penuh magis. Kisah masih berteraskan konsep saspens thriller. Anding Ayangan II tetap sebuah penceritaan bersandarkan Dark Dream dan make believe. Nilainya sangat tinggi dan berbaloi untuk dihayati. Seperti pembaca sedia maklum, kekuatan gaya bahasa dan teknik penceritaan yang penuh dramatik lebih memberikan kesan kepada pembaca. Berkisarkan mengenai dua dunia yang mempunyai kehidupan berbeza. Seorang penglipur lara bernama Nyian yang mempunyai kuasa sakti telah membaca dan mengubah cerita dongeng mengenai Anding Ayangan. Segala yang dipertuturkan benar-benar menjadi kenyataan. Kehidupan Furqan Ayyubi di dunia Anding Ayangan terhenti kerana dia telah dibawa ke dunia nyata akibat pengkisahan Nyian. Manakala Nyian dan sahabatnya Damit pula bertukar dengan Furqan Ayyubi dan telah ditelan lautan dan dibawa ke dunia Anding Ayangan. Bermulalah kacau bilau di mana, Nyian telah menyalahgunakan kesaktiannya dan cuba mengambil alih takhta kerajaan Anding Ayangan. Dia berjaya menggulingkan Raja Perempuan Yungku Kelangar iaitu adik kepada Furqan Ayyubi. Walau bagaimanapun Nyian bukanlah seorang raja yang adil dan mengakibatkan huru-hara di kerajaan Anding Ayangan dengan hanya menggunakan lisan sahaja. Manakala Furqan Ayyubi di dunia nyata ini bersungguh-sungguh berjuang untuk membunuh seekor makhluk yang datang dari Anding Ayangan juga. Makhluk itu telah menumpang di dalam jasad Datuk Johar seorang ahli politik. Sebelum ini, di dunia Anding, makhluk itu juga turut menumpang jasad Raja Tabakbauta' iaitu ayahanda Furqan Ayyubi. Tetapi keadaan Furqan Ayyubi itu disalahertikan oleh orang sekelilingnya di dunia nyata ini dan mengatakan dia mengalami gangguan mental. Akhirnya dia dimasukkan ke hospital mental dan berjumpa dengan seorang lelaki tua seusia Nyian dan juga sahabat Nyian iaitu Pak Hashim. Lelaki itu juga dikatakan mengalami gangguan mental tetapi apa yang berlaku sebenarnya adalah, lelaki itu juga turut mengetahui rahsia kitab dongeng Anding dan kesaktian Nyian.
Author

Ramlee Awang Murshid (lahir 4 November 1967) ialah seorang novelis dan juga penulis Malaysia untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) sejak 1986. RAMLEE Awang Murshid dilahirkan di Papar, Sabah, pada 4 November 1967 dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bertugas sebagai wartawan penyiaran di RTM Angkasapuri Kuala Lumpur. Dalam dunia penulisan, Ramlee terkenal sebagai novelis thriller dan sudah empat kali memenangi sayembara penulisan yang antaranya melalui kejayaan novel Pei Pan yang diiktiraf pemenang kedua Hadiah Sako bagi Novel Nasional 2002. Pelajar Terbaik Komunikasi Massa 2000 UKM ini menyifatkan kejayaan Pei Pan meninggalkan kenangan paling manis kepada Ramlee kerana beliau penulis pertama dari Sabah yang meraih kemenangan bagi hadiah terbabit. Beliau yang menerima Watikah Penghargaan Khas daripada UKM pada 2001 dan Pelajar Terbaik Keseluruhan Pusat Pengajian Media dan Komunikasi (2002) sudah menghasilkan 13 novel dan antaranya ialah Tombiruo, Ranggau, Mandatori, Satu Janji, A.D.A.M, Semangat Hutan dan Rahsia Perindu. Novel terbarunya, Bagaikan Puteri, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Sastera Negeri Sabah dan sambutan daripada peminat menyebabkan dia teruja menyambung novel terbabit sehingga lahir trilogi Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta. Dilahirkan di daerah Papar, Sabah, genre novel beliau pada umumnya berbentuk "thriller" dan seram. Ramlee juga telah memegang tugas sebagai Penerbit Filem. Filem pertama beliau ialah TOMBIRUO: Penunggu Rimba yang diadaptasi dari novel beliau dengan judul yang sama. Tombiruo adalah Filem Kedua Terlaris pada tahun 2017. Setelah lebih 20 tahun menjadi penulis, beliau akhirnya memberanikan diri menerbitkan novel beliau sendiri di beri tajuk KASYAF AIN. Di bawah syarikat RAM Typewriter, beliau akan hadir dengan Novel ke-3 beliau tidak lama lagi. Latar belakang pendidikan Sekolah Rendah Kapayan Kota Kinabalu (1974-1979) Sekolah Menengah Maktab Sabah (Dikenali juga dengan nama Sabah College) (1980-1984) Sijil Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (1999-2000) Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian dalam Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia Anugerah Pemenang tempat kedua untuk novel Igauan Maut (1995) dalam Pertandingan Menulis Novel Dewasa, anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka, cawangan Kota Kinabalu. Pemenang tempat kedua untuk novel Pei Pan, anjuran Hadiah Sako Novel Nasional 2002. Pemenang Novelis Thriller Terbaik dari Anugerah Buku Negara 2019. Untuk mendapat info terbaru Ramlee Awang Murshid, ikuti beliau di: www.facebook.com/ramfc www.instagram.com/ramfc2020 www.twitter.com/ramfc2020 Karya beliau boleh dapatkan melalui: www.facebook.com/ramfcstore