
Sesungguhnya, meraikan Antologi Cerpen Adiwarna (ACA) saban tahun, meriahnya bagaikan berpesta. Lalu, kali ini pesta menulis diberi nama Kelip-kelip Kusangka Api. 40 Penulis. 40 Ceritera... Sekerat pantun penuh makna ditafsirkan pelbagai gaya bercerita. Naskhah penuh rencah dan rasa ini, terbang hinggap bercahaya di hati pembacanya bagaikan kelip-kelip terbang malam. Namun... dapatkah ia menyelesaikan sekerat pantun berikutnya itu, terus menjadi tanda tanya? Bukankah, kalau api mana sumbunya, tuan? 40 Pengarang. 40 Citra... Tertunailah hasrat Adiwarna menghimpunkan penulis dan cerita dalam sebuah naskhah berjilid. Kisahnya disusun kemas lagi cantik, bagai orang Melayu menyisip sirih junjung buat dijadikan pembuka bicara. Hilang ghaib kusangka mati, Kalau mati mana kuburnya, tuan? Mudah-mudahan ramai yang suka membaca cerpen penuh santun dan tertib. Membaca bahasa yang cantik - tidak campur-campur dan cacamarba, bukankah itu budaya asal orang budiman? Lalu janganlah pisahkan bahasa Melayu yang indah dalam penulisan sepertimana kita pernah pisahkan tulisan Jawi yang indah ini di hati kita, ya! Sungguhkah tuan kasih akan bahasa, kalau sungguh tunjuklah tandanya! - Noor Suraya
Authors


SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM atau nama penanya Ibnu Ibrahim At-Tawari, SMahadzir, SMSI dan SMSIbrahim. Beliau memulakan alam persekolahannya di Sekolah Kebangsaan Tawar, Baling, Kedah, Sekolah Kebangsaan Kota Bukit, Sik, Kedah, Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah, Institut Teknologi Mara (ITM) - Diploma Kajian Reka Bentuk dan Universiti Putera Malaysia – Ijazah Sarjana Muda Linguistik. Beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Penerangan di Jabatan Perhubungan Awam, Lembaga Letrik Negara, Pengurus Editorial di Food and Agriculture of Organization (FAO) of United Nation, Editor dan Pengurus Editorial di beberapa buah syarikat penerbitan dan kini merupakan Pengurus Pentadbiran Pujangga Gemilang Resources dan Ketua Fasilitator PPSB/PLKN, Dewan Bahasa Pustaka dan Jabatan Latihan Khidmat Negara, Exco Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, Setiausaha Persatuan Penulis Dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) dan Setiausaha Persatuan Penggiat Seni Budaya Daerah Kuala Langat (PESAT). Beliau sering dijemput sebagai hakim dalam pertandingan mendeklamasi puisi, syarahan, bercerita, tarian tradisional, teater, nyanyian lagu-lagu asli, nyanyian lagu-lagu patriotik, pantun dan juga nyanyian lagu-lagu irama Malaysia peringkat daerah, negeri dan juga kebangsaan. Bidang penulisan beliau ialah cerpen, esei, fiksyen misteri, berita, puisi, skrip drama tv, skrip drama radio, skrip drama pentas dan novel. Sehingga kini beliau telah menghasilkan lebih dari seratus buah buku dalam pelbagai genre.

Lulusan Diploma Pendidikan (KPLI) daripada Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI) ini, pernah menjadi pendidik selama 13 tahun. Noor Suraya juga seorang Munsyi Dewan yang aktif dalam dunia penerbitan. Kini Noor Suraya mengetuai JS Adiwarna Publications & Distributors Sdn. Bhd. sebagai Pengarah Eksekutif di samping bertindak sebagai Pengarah Urusan untuk Jemari Seni Sdn. Bhd. Justeru, Noor Suraya juga bertanggungjawab memantau hal-hal yang berkaitan dengan editorial, pemasaran dan komunikasi di kedua-dua syarikat penerbitan ini. Noor Suraya memiliki ijazah Sarjana Linguistik daripada Universiti Malaya, dan Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Massa/Pengurusan) daripada Universiti Sains Malaysia. Noor Suraya pilih membaca apa saja – daripada teks klasik, cerita-cerita panji dan warkah-warkah lama sehinggalah tulisan-tulisan kontemporari serta teks-teks ilmiah. Cerita kanak-kanak dan komik selalu menjadi ‘pembuka selera’ membacanya. Bidang yang menjadi perhatian khususnya Noor Suraya tentulah hal-hal yang berkaitan dengan bahasa dan linguistik, sastera dan budaya, sejarah (dan sirah), biologi, juga fasal sosiologi serta antropologi. ~ Noor Suraya telah menambah perbendaharaan kata baharu pada pembaca muda melalui penulisannya yang cermat ~





