
"Duhai anakku, mama mohon maaf. Barangkali awak membesar sendirian tanpa cukup bimbingan seorang ibu. Barangkali ada tangisan dalam diam. Air mata kering tanpa mama mendakap dan mengelapnya. Barangkali awak tergelincir, jatuh lalu terluka. Namun mama tiada di sisi. Malah tangan yang terkapai mama tidak pernah sempat menyambutnya. Luka itu barangkali dalam, tetapi awak diamkan. Langsung tidak pernah mengadu, jadi mama tidak pernah tahu. Mungkinkah ia belum sembuh atau bekas lukanya masih berbekas hingga kini? Mama tidak pasti. Anakku, awak membesar tanpa mama sedar. Sedangkan ketika itu mama begitu sibuk mengejar seisi dunia. Mama mahu itu dan ini. Mama mahu semua." Semalam, saya terbayang ketika anak-anak sibuk mahukan ibunya, si ibu lebih menyibukkan diri. Majikan diutamakan dan didahulukan melebihi keluarga sendiri. Si ibu lebih takut kepada majikan daripada takut tidak menjalankan amanahnya terhadap Ilahi. Diam-diam, anak-anak berdikari tanpa si ibu di sisi. Astaghfirullahal-'Azhim!
Author

Roza Roslan atau nama sebenar beliau Raudzah Roslan adalah mantan pensyarah di Universiti Teknologi MARA. Beliau kini bertugas di Universiti Taibah, Madinah. Beliau dilahirkan pada 2 Januari 1967 di Jementah, Segamat, Johor. Beliau berkelulusan Diploma Perbankan UiTM Terengganu, BBA (Hons) Pengurusan Sumber Manusia UiTM Shah Alam dan seterusnya M.A Pentadbiran Bisnes di universiti yang sama. Beliau juga adalah isteri kepada penulis bestseller Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim yang menulis buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman dan Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok. Kisah beliau banyak termuat di dalam karya suaminya yang banyak menceritakan pengorbanan dan sokongan beliau dalam menjalani hidup beragama.