
Mo, anak pendatang dari China yang lahir di Tanah Melayu. Mo dibesarkan dengan kisah-kisah penderitaan bapanya di China dan harapan bapanya untuk bahagia di negara baharu, Tanah Melayu. Mo membesar dengan melihat sendiri suka duka sejarah perjalanan Tanah Melayu menjadi sebuah negara hasil perpaduan sesama bangsa. Mo membesar dengan Midah, anak seorang polis yang juga tinggal di kem Cina dalam kawasan penempatan Mo dan bapanya tinggal. Mo dan Midah terus bersaudara sehingga ke hari tua mereka. Bagaimanapun, persahabatan ikhlas mereka tidak dikongsi oleh anak mereka, Qi dan Zara. Qi dan Zara adalah anak selepas merdeka yang terperangkap dengan ideologi perkauman yang kemudiannya terlajak kepada isu agama. Kedua-dua mereka terperangkap di dalam kefahaman dan kepercayaan masing-masing. Bukan Orangorang menyorot suka duka perjalanan sebuah negara bernama Malaysia daripada sudut pandang dua generasi berbeza.
Author

Berasal dari Chemor, Perak. Lulusan sarjana muda Seni Gunaan dari Universiti Malaysia Sarawak. Pembabitan dalam penulisan bermula sejak belasan tahun dan pernah mengikuti Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1994. Antara novel yang dihasilkan; Noktah di Hujung Rindu (2005), Kala Hujan Menitis (2007), Andainya kukembali (2009), Sehiris Bulan (2011), Deru Angin (2012), Lelaki Januari (2014), Nan Yang (2014) dan antologi cerpen Ayam Patah Kepak (2013). Antara pencapaian dalam penulisan termasuklah Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1993 dan 1995, Hadiah Karyanet 2004, Hadiah Sastera Berunsur Islam 2005 dan 2011, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2009, 2011 dan 2013, Sayembara Fiksyen Sains UTM-Utusan 2011, Anugerah Buku RTM-PNM 2012. Hafizah Iszahanid pernah mewakili Malaysia untuk mengikuti Bengkel Mastera (Novel) pada 2011 di Bogor, Indonesia.