"Naura Harlina... aku ceraikan kau dengan talak satu." - SHAMSUL Berkasih selama bertahun-tahun, Naura akhirnya dilempar oleh Shamsul begitu sahaja. Umpama sampah, langsung tak berharga. Hilang tempat bergantung, Naura buntu. Langkah Naura tak bertujuan. Tak berarah. Namun merenung penuh cinta ke wajah si kecil kesayangan, Luth Najmil, Naura kuatkan jiwa. Takdir Allah S.W.T. mempertemukan Naura dengan Syirah. Takdir Tuhan yang sama juga membawa dia kepada seorang lelaki bernama RAFAEL ZIYAD. Perkenalan mereka terlalu singkat. Namun dalam tempoh sesingkat itu tak mampu menidakkan rasa yang datang tanpa diundang. Bermula dengan benih simpati yang tersemai, akhirnya menumbuhkan rasa cinta untuk Naura dan rasa kasih buat Luth Najmil. "Saya janji, saya takkan persiakan awak."- Rafael Ziyad Naura dilamar Rafael. Lelaki itu meminta peluang. Meminta cinta dan hati Naura. Mahu menjadi pelindung seterusnya membuktikan bahawa tidak semua lelaki seperti Shamsul. Segalanya berlaku terlalu pantas. Naura buntu untuk memutuskan. Sedangkan cinta yang dijalin bersama Shamsul bertahun-tahun lamanya musnah dengan mudahnya. Inikan pula cinta Rafael yang baru bercambah beberapa hari? Beranikah Naura mempertaruhkan kehidupannya sekali lagi dengan menjadi isteri kepada lelaki yang baru dikenalinya? Ikhlaskah seorang Rafael Ziyad terhadap seorang Naura Harlina? Sungguh-sungguhkah lelaki itu mahukannya? Menjadi pengganti Shamsul selama-lamanya... atau untuk sementara cuma?