
Kali pertama mereka bersua, Airis jatuh dari pokok. Yang lebam punggungnya, tetapi yang jatuh hati pula Zahier. Jatuh tahap gaban kononnya. Kali kedua terserempak, Zahier tertolak Airis ke dalam lopak air. Airis yang basah lencun tapi Zahier pula yang kelemasan dan mahu Airis menyelamatkannya. Mengada-ngada. Keliru. Itu yang Airis rasakan. Lelaki ini peguam atau pencuci pinggan? Puas dia mengelak tetapi Zahier pula seperti magnet yang merosakkan koordinat hatinya. Siang teringat, malam terbayang dan di antaranya ada bisa rindu yang berdenyut-denyut. “Zahier, awak kaki buli yang baik hati.” “Airis... awak gadis yang terlalu naif.” Bagi Airis : Saya bukan naif. Saya cuma gadis biasa yang boleh jatuh, jatuh dan jatuh kalau awak terus senyum dan mengusik ritma jantung saya yang sudah tidak normal. Sedangkan Zahier : Saya bukan lelaki yang baik untuk awak Airis. Kalaulah awak tahu, usahkan ke hujung dunia, selangkah pun pasti awak tak mahu mendekati saya. Lalu di kategori manakah cerita cinta mereka? Kisah manis kategori terlebih dos dan bahagia hingga ke akhir hayat. Atau kisah masam payau kategori sakit jantung dan hidup berantakan kerana janji ALLAH, ujian itu sentiasa ada untuk hamba-NYA yang terpilih.
Author

Lynn Dayana atau nama sebenar beliau Roslinda Mohammad dilahirkan pada 21 November 1973 dan dibesarkan di Batu Pahat, Johor. Berkelulusan dari Universiti Sains Malaysia dalam bidang Management (Major in Marketing, Minor in Advertising). Kini bekerja sebagai District Training Officer di Pizza Hut Rest Sdn Bhd. Beliau sangat meminati penulis-penulis seperti Jodi Picoult, Nora Roberts, Dan Brown, John Grisham, Samsiah Mohd Nor. Jika Benar Cinta ditulis atas dorongan sahabat baik yang kini sudah kembali ke rahmatullah. Dia menjadi editor tidak bergaji. Bermula dengan 7 helai yang dihantar kepada Alaf 21 dan kemudiannya peluang mengikuti kursus, membuatkan saya lebih bersemangat mahu menulis dan berkongsi pengalaman hidup serta rakaman imaginasi yang diharapkan boleh menjadi tauladan kepada peminat dunia novel.