
Balada hati melukis rasa Kamu dan aku yang saling cinta Jauh terpendam di lubuk jiwa Tak pernah terungkap dengan bicara . MEREKA, dua jiwa dan dua hati. Dua insan yang terperangkap dalam zon persahabatan. Diam-diam menyimpan hati. Lantaran janji yang telah dilafaz, jadi sahabat buat selamanya. . Antara mereka, terlalu banyak memendam rasa. Salah faham selalu terjadi akibat andaian yang dibuat sendiri. Adrina tak nak mengalah, Dayn pula benci kalah. Jika dah begitu siapa yang akan menang? . “Mana mungkin selimut tetangga hangati tubuhku… Malam-malam panjang.” Dayn bernyanyi riang. . “Kau boleh diam tak?” Adrina angkat sudipnya tinggi. . Dayn terkekeh. “Abanglah, sayang…” Adrina menjegil. “Mimpilah kau nak aku panggil kau abang! Tak ingin!” . Dayn tertawa. Seronok mengusik Adrina. Lebih seronok melihat pipi Adrina merona kerana dirinya. Bahagia, namun sukar nak diluahkan. . Hadirnya Tihani dan Ashraf menguji cinta mereka. Ashraf yang selalu ada, Tihani yang selalu sabar, membuatkan mereka jadi serba salah. Diluah mati emak, ditelan mati bapak. . “Boleh tak you jauhkan diri dari Dayn?” – Tihani “Abang ikhlas nak peristerikan Rin.” – Ashraf. Antara Tihani dan Adrina, siapa yang Dayn cintai? Antara Ashraf dan Dayn, siapa sebenarnya bertakhta di hati Adrina? . -Terkadang hidup ini hanya tentang masa. Masa yang menentukan siapa yang lebih pantas pada detik yang lebih tepat. . Perhitungannya ada di dekat kita. Jawapannya hanya DIA yang memberikan.