
Selama ini Widad sangkakan kehidupan bekas abang ipar dan anak buah kesayangannya baik-baik sahaja. Sehinggalah berita tentang penderaan emosi dan fizikal Auni sampai ke telinganya, barulah dia tahu keadaan sebenarnya. Bukan hanya setakat Auni yang tak bahagia, rupanya bekas abang iparnya, Uzair, juga begitu. Dalam diam, rupanya isteri Uzair, Suraya, punya skandal di belakang Uzair! “Selesaikan masalah abang dengan dia. Biarlah Auni dengan kami. Abang boleh datang bila-bila. Rumah ni rumah abang jugak, sebab anak abang menghuni di sini. Arwah isteri abang membesar di sini. Jangan jauh dari kami.” – Widad. Selepas perselingkuhan Suraya terbongkar, akhirnya Uzair melepaskan sang isteri. Baginya cukuplah sekadar dia hidup berdua dengan Auni, mencipta bahagia mereka sendiri. Namun, dalam diam, keluarga Uzair dan Widad merancang sesuatu. Rancangan yang berat hendak dituruti namun sukar untuk ditolak. “Nenek suruh ayah kahwin dengan mak usu!” – Auni. Itulah harapan keluarga mereka dan juga Auni. Tidak mahu mengecewakan keluarga, akhirnya Widad dan Uzair setuju untuk disatukan. Sangkanya pelangi bakal muncul dalam ikatan itu, namun sebaliknya yang berlaku. Gangguan demi gangguan hadir yang membuatkan kehidupan mereka jadi tidak menentu. Dan bila keselamatan Auni mula terancam, Widad dan Uzair sedar, ada pihak yang tidak senang dengan penyatuan mereka berdua. Siapa yang mengganggu mereka? Dan siapa mengancam keselamatan Auni? Dapatkah Widad dan Uzair merasakan kebahagiaan yang dinanti-nanti selama ini?