
Tiga tahun lalu, satu kes penculikan berakhir dengan tragedi paling mengerikan. Mayat seorang gadis ditemui dalam keadaan aib, dikerat dan ditinggalkan sebagai tanda amaran. Kes itu ditutup. Fail disimpan. Pembunuh menghilang tanpa jejak. Kini, satu mayat baharu ditemui. Modus operandi sama. Mata dijahit. Organ dalaman hilang. Seolah-olah pembunuh itu kembali untuk menuntut sesuatu yang belum terlunas. Inspektor Umar dan pasukannya terpaksa membuka semula cold case yang sepatutnya sudah terkubur. Setiap petunjuk membawa mereka hampir kepada kebenaran yang lebih kejam - bahawa keadilan pernah diputar belit dan orang yang sepatutnya bersalah telah dilepaskan. Apabila rahsia lama dibongkar satu demi satu, mereka sedar ini bukan sekadar pembunuhan bersiri. Ini adalah dendam yang dirancang rapi. Sebelum kes ini berakhir, akan ada harga yang perlu dibayar—dengan pertumpahan darah.
Author

Azmeer Syahiran atau nama penanya Azmeer Shah seorang penulis baru dalam dunia penulisan kreatif. Lahir pada 15 ogos 2000 dan merupakan anak jati Perak. Ibu dan bapanya juga dari Perak. Azmeer Shah merupakan seorang pelajar ijazah sarjana muda Penulisan Kreatif dan Filem di Akedemi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Setakat ini, cerpen Stalker, Potret, Circle dan Alternatif diterbitkan di aplikasi Cereka. Antologi Jalan Puaka dan Istana Syaitan diterbitkan Karya Publika dan novel solo pertamanya diterbitkan Million Idea bertajuk Cicada. Cerpen berkonsep / interaktif bertajuk Hazard diterbitkan Mesta. Terbaharu, antologi novelet Bunian diterbitkan di bawah terbitan Karya Publika. NON-READER BECOME WRITER Dahulunya, Azmeer seorang yang tidak gemar membaca. Namun ketentuan itu milik ALLAH. Perkara yang tidak digemarinya itu kini menjadi hobi dan merupakan cita-cita utamanya sekarang. Dia berimpian untuk mendapatkan 'gelaran' tersendiri di dalam dunia penulisan novel. Tanggapannya dahulu, pekerjaan penulis tidak ada masa depan apatah lagi menulis novel. Tapi sekarang, perkerjaan penulis itulah yang dikejarnya. Dia percaya, masih ada manusia di luar sana sepertinya. Seorang yang dahulunya tidak suka membaca dan akhirnya menjadi penulis. Kerana itulah, Azmeer mengelarkan dirinya sendiri 'Non-reader become writer'.