
KALAU sudah nama berbintikan Hambali, semuanya akan diatur…termasuklah mencari calon suami. Bila Leftenan Jeneral kata hitam, maka hitamlah warnanya. Walaupun ketika itu, pelangi sudah jadi 14 warna, Syirin harus akur. Kehadiran Zakhif, telah menggoyahkan hati Syirin. Kali pertama bertentang mata, dia dan Zakhif saling terpesona. Saat bertegur sapa, hati dibaluti bahagia. Bila tidak bertemu, ada rindu yang menderu. Tetapi Zakhif sedar siapa dia. Bagaimana kuatnya cinta terhadap Syirin, hebat juga risiko yang menanti. Lalu Zakhif cuba menjauh. Namun, Syirin semakin mendekat dengan satu tekad. “Kalau awak datang ke rumah berjumpa ayah dan mak saya…saya terima pinangan awak.” Zakhif mula pening! Mampukah dia menghantar rombongan? Yang ingin dipinang itu srikandi Leftenan Jeneral Hambali. Pikat bapa mertua lebih mencabar daripada memikat anaknya! Argh…ini kisah cinta yang mudah tetapi bertukar payah. DIA ANAK JENERAL menjadi epik cinta yang indah.
Author

Dengan menggunakan nama pena Hezzy Azra, anak bongsu daripada tiga adik beradik ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Puteri Pandan sebelum bertukar ke Sekolah Rendah Convent Bukit Nanas (2) Kuala Lumpur pada tahun 1984. Meneruskan persekolahan menengah di Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas sehingga tamat tingkatan enam pada tahun 1992. Seterusnya melanjutkan pengajian peringkat diploma di TL Management Centre (usahasama dengan Swansea Institute of Higher Education, United Kingdom) dalam jurusan Business Management. Kini bekerja sebagai Eksekutif Akaun dan Pentadbiran di sebuah syarikat pembinaan milik bumiputera yang beroperasi di Kelana Jaya, Selangor. Atas dasar ingin mencuba bakat, mula menulis manuskrip pertama pada tahun 2006. Setelah lima tahun dalam bidang ini, empat novel telah berjaya dihasilkan iaitu yang pertama Melodi Kasih (Disember 2007), Kenangan Terindah (November 2008) Cinta Tak Beralih (Julai 2010) dan Aku Pilih Dia yang baru berada di pasaran pada Disember 2011.