
Mencintai itu seperti menjaga. Menjaga agar tak ada luka. Menjaga agar tak ada kecewa. Itulah yang Najaah buat untuk Zaynn yang dia cinta. Sungguhpun mereka suka bertikam-lidah tetapi dalam diam-diam dia tetap menatang hati Zaynn. Sayangnya, hanya ada Dian Zahra dalam hati Zaynn. Tidak terlintas untuk Zaynn jatuh kasih pada adik tirinya sendiri. Kalau jatuh kasihan itu adalah. Kerana hakikat cinta itu damai. Mendamaikan dua hati yang bertentangan. “Cuba Najaah buka hati pada orang, tentu hidup Najaah lebih bermakna.” “Umi dulu?” “Umi doakan Najaah dapat jodoh dengan pemuda baik-baik.” Dr. Farhana ibu tirinya itu enggan bercerita tentang sejarah hati sendiri. Hakikat cinta adalah dekat. Mendekatkan setiap hati yang berjauhan. 13 tahun berlalu Dr. Farhana selalu merasakan dia sudah berjaya mengikat hati suami seperti jalinan permaidani Kashmir: teguh dan kuat. Tetapi hati lelaki bukan begitu fitrahnya. Ada waktu-waktunya dia terlepas bebas bak layang-layang ditiup angin. Siapa pun bersetuju yang rumah tangga itu seperti sehelai permaidani. Semakin lama semakin bernilai dan mahal. Kita tidak akan mudah-mudah membeli yang baharu kalau kita sudah memiliki sebidang yang cantik dan berharga di rumah. Benarlah pepatah Arab berkata, perkahwinan itu pertemuan dua hati yang ada seribu perbezaan. Jadi, usah diungkit kalau kita tak serupa.
Author

Lulusan Diploma Pendidikan (KPLI) daripada Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI) ini, pernah menjadi pendidik selama 13 tahun. Noor Suraya juga seorang Munsyi Dewan yang aktif dalam dunia penerbitan. Kini Noor Suraya mengetuai JS Adiwarna Publications & Distributors Sdn. Bhd. sebagai Pengarah Eksekutif di samping bertindak sebagai Pengarah Urusan untuk Jemari Seni Sdn. Bhd. Justeru, Noor Suraya juga bertanggungjawab memantau hal-hal yang berkaitan dengan editorial, pemasaran dan komunikasi di kedua-dua syarikat penerbitan ini. Noor Suraya memiliki ijazah Sarjana Linguistik daripada Universiti Malaya, dan Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Massa/Pengurusan) daripada Universiti Sains Malaysia. Noor Suraya pilih membaca apa saja – daripada teks klasik, cerita-cerita panji dan warkah-warkah lama sehinggalah tulisan-tulisan kontemporari serta teks-teks ilmiah. Cerita kanak-kanak dan komik selalu menjadi ‘pembuka selera’ membacanya. Bidang yang menjadi perhatian khususnya Noor Suraya tentulah hal-hal yang berkaitan dengan bahasa dan linguistik, sastera dan budaya, sejarah (dan sirah), biologi, juga fasal sosiologi serta antropologi. ~ Noor Suraya telah menambah perbendaharaan kata baharu pada pembaca muda melalui penulisannya yang cermat ~