
Sekali jatuh cinta, akan tetap cinta selamanya. Darlina: -Kak long kawasan di rumah mak dan abahnya sahaja. -Staf di bahagian sumber manusia sebuah kilang minyak masak. -Tegas dan garang ketika bekerja sehinggakan mamat Bangladesh tidak berani mahu memanggilnya adik manis. -Meminati seorang lelaki bernama Encik Naufal. Naufal: -Bukan anak emak. -Ketua di bahagian pengurusan kilang minyak masak. -Tidak suka menggatal dengan perempuan. -Tidak suka coklat sejak kecil kerana emaknya berkata coklat diperbuat daripada tahi kambing. Tiga tahun Darlina usyar Encik Naufal dari jauh. Meminati dalam diam ini susah rupa-rupanya. Angau tak bertempat. Nak-nak lagi bila orang yang diminati tiba-tiba menoleh ketika ‘projek mengusyar’ sedang dijalankan, habis tak tentu arah Darlina dibuatnya. Mulalah perasan seorang diri. Hmmm... Susahnya kalau dalam hati ada taman ni. Rasa tak serupa orang. - Darlina Intai punya intai anak teruna orang, tak sedar diri sendiri turut diintai dari jauh. Bagai bulan jatuh ke riba Darlina dibuatnya. “Kita pernah bersekolah di sekolah yang sama.” - Naufal “Hah?” - Darlina “Ya, saya tingkatan 5, Cik Darlina pula tingkatan 2.” - Naufal Rasa macam nak lompat bintang tatkala pujaan hati mula menyapa. Gembira tak dapat dihitung tetapi… Sekelip mata badai bertandang tanpa salam. “Mohamad Izwan Syukri?” - Naufal Nama pasangan Darlina tertera di atas kad jemputan kahwin. Merah mata Encik Naufal ketika membaca setiap patah kata yang tertera. Sebak ditahan sambil bibir menutur… “Tahniah. Selamat pengantin baru.”