
Sebagai insan yang prihatin, penyair merakamkan realiti yang tidak pernah berhenti berdenyut di sekelilingnya. Isu-isu seputar pergeseran siasah, pengkhianatan bahasa, konflik dan peperangan sentiasa menggamit penyair untuk diteropong dan dirakam secara hikmah menerusi diksi demi diksi. Kebanyakkan puisi yang terhimpun dalam kumpulan ini kelihatan santai dan bersahaja daripada aspek diksi dan bahasanya, namun gaya berpuisi yang sedemikian tidak bermakna mesejnya juga bersifat santai mudah. Sahrunizam dengan bahasa yang mudah sesekali berusaha menyorokkan makna puisi-puisi beliau daripada khalayak pembaca.
Author

Sahrunizam memperolehi pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Kuala Triang (1977-1982), kemudian belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak (1983-1987) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh. Pada 1991-1993, beliau mengikuti Kursus Perguruan Asas di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda (bidang Kesusasteraan) di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2002. Beliau pernah memenangi pelbagai hadiah; antaranya pernah dipilih sebagai pemenang Sayembara Menulis dan Mendeklamasi Puisi Puteri Pos Kebangsaan (2000), Sayembara Menulis Puisi Perpaduan Darul Iman (2001), Sayembara Menulis Puisi Berunsur Islam Kuantan (2002), Hadiah Sastera Utusan Exxon Mobile bagi penilaian 2002, 2003, 2004 dan 2010, Sayembara Penulisan Puisi Kepenggunaan Kebangsaan (2006), Sayembara Mengarang Puisi Klasik Nasional dan KEKKWA (2007). Kumpulan puisi beliau, Bahasa Senjata memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003.