
Buku 2 daripada Trilogi Amerika-Eropah-Jepun. Kisah ini bermula dengan sekumpulan pelajar yang terlibat dalam kekacauan akibat dari timbulnya perasaan anti-Britain dan anti-Yahudi di Eropah. Mariana, gadis Yahudi yang mengambil PhD. di Belanda turut terjebak dalam kancah ini. Pelbagai kejadian jenayah dan sabotaj seperti pembunuhan, peletupan feri, perampasan kereta api dan penculikan berlaku sehingga menimbulkan suasana yang tegang di Eropah. England dan negara-negara Benua Eropah saling tuduh-menuduh antara satu sama lain dan masing-masing mencurigai bahawa pihak yang satu lagi bekerjasama dengan Yahudi. Arena Wati cuba mendedahkan sikap dan pandangan rakyat bekas jajahan (negara-negara Eropah) melalui watak-watak rakyat asing yang tinggal di Belanda. Kenapakah rakyat bekas tanah jajahan bangkit untuk membalas dendam terhadap negara-negara yang pernah menjajah mereka? Apakah yang telah dilakukan oleh orang Eropah di negara-negara bekas jajahan sehingga menimbulkan dendam kesumat yang tidak pernah padam? Siapakah biang keladi di sebalik kekacauan dan huru-hara yang berlaku di Eropah?