
SUNGAI MENGALIR LESU mengisahkan kehidupan di sebuah kampung di tepi sebuah sungai di Singapura semasa pendudukan Jepun. Kisahnya penuh tragedi, penyeksaan, kebuluran, kemelaratan dan maut. Di satu pihak, Jepun mengancam mereka dengan pedang dan senapang, sementara di pihak lain Inggeris mengancam mereka dengan serangan bom dari kapal terbang. Bagaimanapun, untuk terus hidup, penduduk kampung perlu berusaha. Desakan untuk hidup membuat anak-anak mencari rezeki di dalam sungai yang kotor, orang muda menjadi penyamun dan gadis-gadis menjadi pelacur. SUNGAI MENGALIR LESU adalah antara segelintir karya sastera yang sempat merakamkan satu fasa dekad terpenting dalam kehidupan bangsa kita. Pengalaman getir kehidupan sekumpulan manusia di sepanjang sebatang sungai turut menjadi lambang kesengsaraan umum rakyat Malaya pada zaman Perang Dunia Kedua. Kisah lara sekumpulan insan ini menunjukkan betapa durjananya kesan dan bencana perang terhadap manusia, dan betapa wajarnya kita menghindarinya daripada berulang semula. Di samping sebuah karya sastera, SUNGAI MENGALIR LESU juga sebenarnya adalah satu himpunan dokumentasi sejarah sosial yang amat berharga.
Author

Abdul Samad bin Muhammad Said atau lebih dikenali sebagai A. Samad Said ialah Sasterawan Negara 1986. Beliau juga pernah dianugerahkan dengan "Anugerah-anugerah Menulis Asia Tenggara" (SEA Write Awards). Dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, A. Samad mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-1946) dan Institusi Victoria, Singapura (1956). Seorang yang berminat dalam penulisan sejak di bangku sekolah, beliau telah menulis banyak karya yang terkenal, termasuknya novel-novel berikut: * Salina * Langit Petang * Sungai Mengalir Lesu * Hujan Pagi * Bulan Tak Bermadu di FatehpurSikri. * Adik Datang * Cinta Fansuri Antara antologi puisinya ialah Suara Dari Dinding Dewan (2003), Dirgahayu Dr. Mahathir dan Rindu Ibu (2004). Antologi Esei terbaru adalah Ilham Di Tepi Tasik (2006). Datuk A.Samad Said pernah juga menggunakan nama pena Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir. (Sumber: Wikipedia)