
Setulus rohaninya, Abizai ingin menyampaikan makna keindahan puisi yang berintikan hikmah buat seluruh khalayak pembaca. Maka, niat yang ikhlas itu dipermudah Allah SWT dengan kelahiran Kumpulan Puisi: Merdeka Burung ini. Kekuatan puisi-puisi beliau ditunjangi tendensi nilai-nilai murni yang puitis lagi tersirat-menjadikan kumpulan puisi ini sebagai sebuah karya yang mulus dan suci di hati pembaca. Kematangan penulis menggabungkan unsur alam, kerohanian, dan ketuhanan bisa mengumpan khalayak pembaca untuk menghadamkan bait-bait puisinya menjadi ulaman yang menyuburkan minda. "Kebebasan bukan semestinya ditentukan oleh ruang dan sempadan. Ada waktunya ketika terkurung, merdeka lebih terasa bermakna. Manakala saat bebas di luar, ada penjara halimunan yang memenjarakan diri. Semoga khalayak dapat berkongsi rasa Si Burung yang bahagia terpenjara..." -ABIZAI-
Author
Abizai atau Abizai Abi ialah nama pena bagi Zainal Abidin Hj. Suhaili. Beliau dilahirkan di Kuching, Sarawak pada 19 Disember 1966 dan mendapat pendidikan di SMK Dato Permaisuri, Miri. Beliau juga pemegang Diploma Pengurusan Sukan dan Ijazah Sarjana Muda Sastera di Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2000/2001 melalui kumpulan puisi, Membentuk Elok di Teluk Esok; Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 & 2007; HSPM 2008/2009 dan banyak lagi. Puisi beliau yang berjudul Kembali Gawai Rindu Terlerai menjadi kajian dalam Teks Kesusasteraan Melayu (Elektif) Tingaktan 4 mulai tahun 2010. Pegawai Bank Muamalat Malaysia Berhad, Miri ini juga bergiat aktif dalam Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA) dan memegang jawatan Ketua 1 sejak tahun 2002.