
Mohd Ghazali Tocheh adalah antara penulis cacat penglihatan tersohor di negara ini. Dilahirkan pada 7 Jun 1949 di Kampung Pilin, Rembau, Negeri Sembilan merupakan anak ketiga daripada enam belas beradik. Dia menerima pendidikan awal di Sekolah Umum Pilin pada tahun 1955. Pada tahun 1962, dia melanjutkan pelajaran ke Special Malay Class di Undang Rembau English Secondary School. Setelah lulus Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), dia meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Melayu Chembong, Rembau. Setelah lulus Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan gred tiga, Ghazali mula aktif sebagai Setiausaha Persatuan Belia kampungnya dan Setiausaha Pemuda UMNO Port Dickson. Pada bulan September 1969, dia mula berkhidmat sebagai Pegawai Pertanian Muda dengan Kementerian Pertanian Malaysia di Jalan Swettenham, Kuala Lumpur. Sebulan kemudian, dia bertugas di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor pula. Pada tahun 1971, dia mula menghadapi masalah dengan penglihatannya. Ini dipercayai berpunca daripada demam panas yang kerap dihidapinya sejak di tingkatan empat. Rawatan awal membolehkannya melihat lampu dan cahaya. Pernah seketika rawatan itu membolehkannya membaca. Ternyata rawatan yang dijalaninya cuma membolehkannya melihat kadar yang tertentu untuk jangka masa yang tertentu sahaja. Lama kelamaan, penglihatannya kian hilang. Pada tahun 1972, Ghazali terpaksa melepaskan jawatannya. Dengan bantuan Jabatan Kebajikan Rembau, dia dapat menjejakkan kaki ke Pusat Latihan Gurney, Kuala Lumpur. Di pusat inilah dia belajar menyesuaikan diri dengan dunia barunya. Dia dilatih membaca dan menulis dengan menggunakan huruf braille. Kemudian, dia mengikuti Kursus Jurutrengkas dan lulus Sijil Perdagangan Malaysia bagi kategori 80 dan 100 patah perkataan. Dia turut menimba pengalaman sebagai Setiausaha Persatuan Pelatih pusat tersebut. Selepas tamat berkursus di Pusat Latihan Gurney, Ghazali berniaga dari rumah ke rumah secara kecil-kecilan sementara menanti tawaran kerja tetap. Penantiannya berakhir pada 23 Mac 1976 apakala dia melapor diri sebagai Jurutrengkas di Bahagian Belanjawan Jabatan Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Kewangan. Antara bidang tugasnya ialah menaip belanjawan negara, kertas cadangan dan minit mesyuarat. Tugastugas itu memang berat tetapi mencabar. Dia bersara secara pilihan pada tahun 2002. Sepanjang perkhidmatannya, dia telah menerima anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Kewangan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1990 dan tahun 2000.