BALAN-BALAN – EB REEZA “Akan kujejak dirimu walau di mana kau berada.” “Kembali kepada fitrahmu.” Ayat yang berulang kali dibisikkan ke telinga Azfar sehingga pemuda itu menjadi gelisah kerana dia langsung tidak faham kenapa ungkapan tersebut seringkali dibisikkan kepadanya. Dia juga tidak mengerti kenapa dia seringkali bermimpi makan makanan yang kotor sehinggalah dia ke Sabah untuk merungkaikan apa yang dialami sehinggalah dia mengetahui sesuatu yang cukup membuatnya tidak percaya. Apakah rahsia Zafar yang terselindung sebenarnya? SUMPAHAN SELENDANG BIRU – SAKU ZAN “BILA KEPALA DAN BADAN DISEMAT MANTERA SELENDANG BIRU.” Di sebalik lembutnya sehelai selendang biru, tersimpan rahsia yang mampu menyelamatkan atau menghancurkan. Juni, wanita tanpa ingatan, cuba membina hidup baharu bersama keluarga angkatnya. Namun selepas kelahiran Billah, dunia yang dianggap aman mula retak, tangisan anaknya hanya mampu dipujuk oleh selendang biru yang ternyata dipenuhi mantera lama. Dalam usaha memisahkan Billah daripada kuasa yang tidak difahaminya, Juni terpaksa menjejaki akar silam hingga ke Kampung Tulu, tempat legenda pahlawan kasu bermula dan tempat dirinya yang sebenar menunggu. Di sana, dia menemukan kebenaran yang menakutkan. Mampukah Juni memisahkan anaknya daripada sumpahan selendang biru dan menemui semula identiti asalnya? GHUBAR YANG MEMANGGIL – AZIELERHIA “Apabila nada tertitik noktah, irama berlagu tari bersulam seni.” Gadis itu sering merasa terganggu dengan irama yang kerap berbisik di telinganya. Alunan yang lunak bermain di dalam fikirannya menangkap ke jantung hatinya, sehingga membuat gadis itu kehilangan ketenangan pada setiap kali. Susur alur keluarga dicari gali demi mendapatkan jawapan kepada setiap persoalan yang membelenggunya saban hari. Walaupun telah ditegah oleh ayahnya berkali-kali, namun Che Andak tetap dengan keputusannya untuk meneruskan pencarian. Walau dia sedar yang dia hanya akan menemui jalan buntu, dia tidak peduli. Berbekalkan semangat yang kuat, melalui gangguan yang berulang, dia menjejak bukti. Dari kiambang di tengah laman, menariknya untuk mengikut setiap kelopak yang tertinggal, yang seolah sedang memberi petunjuk kepadanya. Langkah kaki membawanya ke hujung kampung, keluar dari kawasan yang telah dipagar, terus masuk ke hutan belantara. Dia merayau ke mana-mana mengikut irama yang tidak hentinya berlagu tanpa rasa takut sedikit pun. Apakah yang sebenarnya memanggil dan mengganggu Che Andak sehingga begitu tingkahnya?