NIYARA JANNAH. Takdir membawanya ke lembah yang gelap dan bersangkar. Terkurung kelemasan bersama golongan yang dipanggil sebagai sampah masyarakat. Terlibat dengan najis dadah dengan penuh keterpaksaan. Fikir Niyara, dia tidak akan boleh lari dari sangkar utuh dan kuat itu. Tapi, bila takdir menemukan dia dengan HILAL NABHAN, seorang lelaki asing yang tiba-tiba sahaja ingin menarik dia keluar dari sangkar penuh kegelapan itu, Niyara letakkan sepenuh kepercayaan kepada Han. "Pegang tangan aku dengan erat! Dan, aku berjanji kepada rumput yang menghijau, gunung yang tinggi, langit yang biru dan laut yang luas, untuk hadirkan satu cahaya dalam kegelapan sangkar hidup kau. Aku berjanji kepada Tuhan yang satu dan seluruh isi bumi yang aku takkan pernah sesekali tinggalkan kau." - HILAL NABHAN Sumpah Han kedengaran begitu berat. Membuatkan jiwa rapuh Niyara lemas dengan rasa terharu. "Sepanjang aku hidup, tak pernah ada walau seorang lelaki pun yang ucapkan sumpah berat macam tu pada aku setelah dia tahu tentang masa silam aku. Hanya kau, satu-satunya lelaki yang sudi melamar aku selantang itu." - NIYARA JANNAH Bahagia. Terdayakah mereka untuk menggapai bahagia bila seorang ibu yang martabatnya terlalu tinggi menjadi halangan? "Mati hidup balik pun ibu takkan terima perempuan sehina dia untuk jadi menantu ibu! - DATIN AMRA "Selantang mana pun ibu menghina aku, janji pada aku yang kau takkan balas balik kelantangan bicara kau pada dia. Dia insan pertama yang ajar kau bercakap. Jadi jangan pernah kecewakan dia dengan tingginya suara kau. Jangan toreh luka di hati dia dengan lidah kau." - NIYARA JANNAH Sukar untuk mereka bersatu. Kerana bukan cuma Datin Amra yang menentang. Tapi, seakan-seakan seluruh dunia cuba memisahkan mereka berdua. Lebih-lebih lagi perempuan bernama SELINA YASMIN. Dari dulu lagi, Selina menaruh harapan dan perasaan kepada Han. Dan Selina langsung tidak dapat menerima bila dirinya kalah dengan perempuan penagih seperti Niyara. "Perempuan macam kau tak layak untuk Han. Kau tu hanya sampah masyarakat yang hina dan menjijikkan! Buka mata kau besar-besar dan buka telinga kau luas-luas dengan apa yang aku nak cakapkan ni. Kau ingat Han cintakan kau ke? Cuba cerminkan diri kau! Kau tu hanya tempat Han lepaskan hawa nafsu dia je.- SELINA YASMIN Lemah dan terus menerima kata-kata itu? Itu bukan sikap Niyara. Dalam rapuhnya jiwa Niyara, dia tidak cepat membuat tindakan melulu. Tiada siapa yang dia percaya dalam dunia ini selain Han. "Aku memang pernah jadi bodoh sebab binasakan badan aku dengan dadah tapi aku tak cukup bodoh untuk percayakan kata-kata kau. Dan kalau betul seperti apa yang kau cakapkan sekalipun, kau takkan dapat gantikan tempat aku di sisi Han. Han takkan pernah cintakan kau macam mana dia cintakan aku." - NIYARA JANNAH Janji Han untuk mereka sama-sama mengejar Jannah seperti pangkal nama keduanya, Niyara patrikan kukuh di hati. Tapi, bila dugaan hadir dan terus-menerus menguji mereka berdua, seterdaya mana Niyara untuk bertahan? Dunia terlalu kejam kepada mereka. Sangat-sangat kejam sampaikan hati Niyara terdetik ingin mengalah. "Aku tak pernah masuk campur urusan diorang. Aku hanya ingin berada di dunia aku. Dunia yang hanya ada kita. Aku hanya perlukan kau, untuk menemani setiap langkah aku yang pincang. Aku hanya mahukan kau untuk terus berdiri di samping aku selalu. Kalau bahagia tu betul-betul wujud, kenapa terlalu sukar untuk kita capai bahagia, Han? Perempuan macam aku ni tak layak ke untuk kenal apa itu erti bahagia?" - NIYARA JANNAH Berjayakah Niyara melawan semua kekejaman dunia dan bersama Han untuk sama-sama mencipta bahagia seperti yang diimpikan? "Lepaskan aku, Han." - NIYARA JANNAH "Jangan pernah biarkan mereka hancurkan syurga kita, Niyara." - HILAL NABHAN Cinta mereka... Akankah selamanya menyatu?