
Sedut. Hembus. Sedut. Hembus. Batuk. Dan sedut lagi. Hampir separuh daripada jejaka Malaysia melakukan rutin ini. Ia industri yang mengenyangkan kapitalis tetapi barah kepada manusia. Sejambak ros di atas nisan orang lain. Kehodohannya bukan rahsia. Tetap ia terlalu menjerut, menagihkan sesiapa saja. Politikus. Agamawan. Genius. Termasuk lah gelandangan dan orang merempat. Para perawat kesihatan juga ada yang terjebak. ROKOK TERAKHIR DI DALAM ASBAK merupakan hembusan pengalaman empat bekas perokok; fighter dan seterusnya menjadi survivor. Ia pertarungan antara kesedaran dan keinginan. Rasional dan ketagihan. Harapan dan putus asa. Ia gelanggang sengit. Berhenti dan merokok kembali. Merokok dan berhenti kembali. Sukar, tetapi tidak mustahil. Benarkah ia akan menjadi rokok yang terakhir?
Authors

Mantan Minggu Penulis Remaja 2000 dan Pengasas/Ketua Penasihat Grup Karyawan Luar Negara. Pernah menulis dan mengarahkan teater 'Mencari Jalan Pulang' di Dublin pada tahun 2005. Menulis dalam genre puisi, cerpen, dan artikel yang tersiar dalam pelbagai media cetak dalam dan luar negara serta termuat dalam lebih 30 antologi bersama. Puisinya 'Al Andalus Menangis' terpilih salah satu teks sastera elektif SPM 2010. Memenangi beberapa anugerah sastera seperti Hadiah Sastera Siswa, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
