
Raif Imran, jejaka yang telah mencuri hati Irdina. Mereka berkenalan, mereka berteman. Dia cuma menunggu masa yang sesuai untuk meluah rasa. Tanpa diduga, satu tragedi yang mendekatkan dua hati sehingga akhirnya mereka digelar suami isteri. Hari-hari yang dilalui begitu indah dan bahagia. Namun, kebahagiaan itu direntap apabila Yasmin kembali ke Rahmatullah. Pemergian ibu tercinta telah merenggut seluruh semangat dan jiwa Irdina. Dia kemurungan. Raif diabaikan. Tiada lagi kemesraan di antara mereka. Apabila hubungan jadi kaku dan beku, muncul pula pihak ketiga untuk mengganggu. Rasa curiga mula meracuni. Kesabaran diuji. Kejujuran dicari. Dapatkah mereka pertahankan ikatan itu? Mampukah Raif mengembalikan semula Irdinanya yang dahulu?
Author

Dengan menggunakan nama pena Hezzy Azra, anak bongsu daripada tiga adik beradik ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Puteri Pandan sebelum bertukar ke Sekolah Rendah Convent Bukit Nanas (2) Kuala Lumpur pada tahun 1984. Meneruskan persekolahan menengah di Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas sehingga tamat tingkatan enam pada tahun 1992. Seterusnya melanjutkan pengajian peringkat diploma di TL Management Centre (usahasama dengan Swansea Institute of Higher Education, United Kingdom) dalam jurusan Business Management. Kini bekerja sebagai Eksekutif Akaun dan Pentadbiran di sebuah syarikat pembinaan milik bumiputera yang beroperasi di Kelana Jaya, Selangor. Atas dasar ingin mencuba bakat, mula menulis manuskrip pertama pada tahun 2006. Setelah lima tahun dalam bidang ini, empat novel telah berjaya dihasilkan iaitu yang pertama Melodi Kasih (Disember 2007), Kenangan Terindah (November 2008) Cinta Tak Beralih (Julai 2010) dan Aku Pilih Dia yang baru berada di pasaran pada Disember 2011.