
Maria Zaitun dalam Salam Maria adalah satu figur yang diambil daripada figur Maria Zaitun dalam W.S. Rendra, Nyanyia Angsa. Kedua-duanya hidup dalam masyarakat yang sakit. Namun kedua-duanya menjadi orang-orang pilihan di akhirat. Maria Zaitun disuntik dengan imej Wali Allah, Rabeah Al-Adawiyah dan Sayyidah Nafisah dan empat wantia penghulu syurga, Siti Khadijah binti Khuwailid, isteri pertama Rasulullah SAW, Mariam binti Imran, bonda Nabi Isa AS, Asia, isteri Firaun dan Fatimah Az-Zahra, puteri bongsu Rasulullah SAW. ' Justeru hidup Maria Zainton hanya untuk mencari keredaan Allah SWT. Balasan di akhirat untuk Maria Zaitun dibayangkan dalam mimpi para pesakit pengsan misteri di hospital yang pengsan selama 2 tahun 2 bulan 2 minggu 2 hari. Bayangan itu ialah tentang wakaf marmar, hidangan dalam dulang emas, perak dan telaga susu di sepanjang jalan yang lurus, lebar dan sunyi untuk Maria Zaitun sebagai seorang hamba pilihan di akhirat kelak. Igauan ini membangkitkan kegilaan masyarakat untuk bertemu dengannya. Malangnya, sedang mereka kelam kabut mencarinya, Maria Zaitun sudahpun dimaqamkan oleh beberapa orang yang daif, buta, bisu dan pekak dengan pengawasan para malaikat. Di bawah tajuk Hijrah, manuskrip ini telah disiarkan secara bersiri di dalam Majalah Horison, Jakarta, pada tahun 1982, dengan inisiatif Profesor H.B. Jasin. "The picture Fatimah Busu paints of Malay society and Malay wives is not flattering in this story. Ini this story, the social sanctions against Maria Zaitun are evil and far from basic Islamic teachings of compassions. To reveal that in a convincing way the writer uses the dream, an important stylistic tool in Malay Literature. In the dream, the inner truth of islam and teaching of the Prophet are communicated." Dr. Lisbeth Littrup, Changing Concepts of identity in Malay Literature After 1957.
Author

FATIMAH BUSU dilahirkan pada bulan Januari 1943 di Kampung Pasir Pekan, Kota Bharu, Kelantan. Setelah tamat pendidikan formalnya di sekolah rendah dan menengah, beliau menyambung pengajian dengan mengikuti kursus perguruan di Maktab Perempuan Melayu, Durian Daun, Melaka. Kemudian, beliau berkhidmat sebagai guru untuk beberapa tahun. Pada awal dekan 1970-an, Fatimah Busu menyambung pengajian tingginya di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Berkat kesungguhannya dalam bidang akademik, Fatimah Busu memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (1978) dan Doktor Falsafah (1994) di universiti yang sama. Kemudian beliau bertugas sebagai pensyarah sehingga bersara pada tahun 1998. Kini beliau berkhidmat secara kontrak sebagai penyarah di USM. Dalam jagat kesusasteraan tanah air, genre cerpen dan novel telah menonjolkan bakat kepengarangan Fatimah Busu. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan tiga kumpulan cerpen iaitu Lambaian Tanah Hijau (DBP, 1980), Yang Abadi (Teks Publishing, 1980) dan Al-Isya' (Teks Publishing, 1985). Sebanyak 10 buah cerpennya pernah memenangi Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Malaysia. Cerpen-cerpen yang berjaya ialah "Mawar Yang Belum Gugur." (1971); "Nasinya Tumpah" (1972), "Freshie" dan "Lambaian Tanah Hijau" (1973); "Bunga-bunga Pulau" dan " Sampah Yang Hanyut" (1974); "Anak Bumi Tercinta" dan "Anak-anak dari Kampung Pasir Pekan" (1975); "Mahar Asmara" (1983/1984) dan "Al-Amin" (1984/1985). Manakala genre novel yang dihasilkan, iaitu "Ombak Bukan Biru" dan "Kepulangan". Antologi puisinya yang terbaru "Apa Ada Di Sana (Versi Dunia)" telah diterbitkan pada tahun 2004. Sebagai ahli akademik atau sarjana, beliau telah melaksanakan penelitian ilmiah dengan menghasilkan buku yang berjudul "Ciri-ciri Satira dalam Novel Melayu dan Afrika Moden: Kajian Perbandingan (DBP, 1992). Buku ini, kemudiannya memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1992/1993. Kini, dua buah cerpen beliau yang pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia menjadi bahan teks KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu peringkat STPM. Cerpen-cerpen itu ialah "Anak Bumi Tercinta" (antologi Anak Bumi Tercinta, DBP, 2001) dan "Anak-anak dari Kampung Pasir Pekan" (antologi Warna Sari Sastera Melayu Moden, DBP, 1996) Hasil pena terkini Fatimah Busu ialah "Ada Apa Di Sana (Versi Dunia)" (Pustaka Nusa,2004), "Salam Maria" (Absolute Publications, 2004), "Keajaiban Alam" (Pekan Ilmu Publications, 2004) dan "The Missing Piece Bah. 1 (Citra Kurnia Ent., 2005).