
Novel mengenai seorang perempuan bernama Salina yang didorong kemiskinan untuk mencari kerja sebagai pelayan di Singapura dan Tanah Melayu (Malaysia) pada tahun 50-an. "Salina, kakak bercakap dengan ikhlas, dari hati kecil kakak benar-benar dan kau tau bagi kakak kau sudah seperti adik kakak sendiri, timbangkanlah cakap kakak ini. Ubahlah cara hidup kau. Berikhtiarlah supaya jangan terus-menerus sahaja kau men-jalani kehidupan seperti ini." Salina menceritakan kehidupan masyarakat terutama orang Melayu di Kampung Kambing, Singapura, selepas Perang Dunia Kedua. Novel ini menggambarkan ke-miskinan,keruntuhan moral di kota dan pergelutan untuk melangsungkan survival di tengah-tengah kehancuran kehidupan selepas perang. Pemerintahan Jepun yang singkat di Singapura dan penderitaan masyarakat akibat perang memberi kesan yang cukup kuat dalam diri Samad yang pada masa itu masih anak-anak lagi. Dia mengutip kembali butir-butir pengalaman itu untuk menceritakan keadaan orang Melayu dan orang-orang Indonesia yang hanyut berkelana dan menjadi buruh di Singapura. Ini bukanlah persoalan yang sama sekali asing dalam kesusasteraan Melayu, tetapi Samad telah memperlihatkan kebolehan seninya dengan melukiskan semua hal ini secara artistik melalui dialog-dialog dan tingkah laku watak-wataknya. Manusia yang lahir dalam Salina adalah manusia yang natural dan bukannya yang menjelma sebagai boneka dengan sifat-sifat hitam putihnya. Memang Samad mempunyai kekuatan dalam hal ini kerana ketelitiannya mengamati watak-watak orang.
Author

Abdul Samad bin Muhammad Said atau lebih dikenali sebagai A. Samad Said ialah Sasterawan Negara 1986. Beliau juga pernah dianugerahkan dengan "Anugerah-anugerah Menulis Asia Tenggara" (SEA Write Awards). Dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, A. Samad mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-1946) dan Institusi Victoria, Singapura (1956). Seorang yang berminat dalam penulisan sejak di bangku sekolah, beliau telah menulis banyak karya yang terkenal, termasuknya novel-novel berikut: * Salina * Langit Petang * Sungai Mengalir Lesu * Hujan Pagi * Bulan Tak Bermadu di FatehpurSikri. * Adik Datang * Cinta Fansuri Antara antologi puisinya ialah Suara Dari Dinding Dewan (2003), Dirgahayu Dr. Mahathir dan Rindu Ibu (2004). Antologi Esei terbaru adalah Ilham Di Tepi Tasik (2006). Datuk A.Samad Said pernah juga menggunakan nama pena Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir. (Sumber: Wikipedia)