
Atas dasar hormat, Seroja setuju dijodohkan dengan Mizan Khaled. Namun bergelar isteri Mizan, tiada satu saat pun hidup Seroja dalam kemanisan. Malam pertama saja, dia dah ditinggalkan bersendirian di dalam bilik. Perempuan lain yang menjadi pilihan Mizan untuk melayari malam pertamanya. Hati Seroja relai dipijak kecurangan suami. Jiwanya hancur dilapah dengan kata-kata yang menyakitkan. Hanya air mata yang menjadi peneman hidup Seroja. Namun di saat dia dalam kesedihan, muncul si abang ipar yang sentiasa mengambil berat pasal dirinya. Mifzal Khaisy. Lagaknya penuh dengan misteri, namun setiap aksinya buat Seroja nanar. Seroja menangis, pemuda itu yang sentiasa ada di sisinya. Memujuk dengan kata-kata yang buat Seroja tak keruan. Bila Seroja sakit, lelaki itu yang tak tidur malam kerana risaukan dia. “Awak kena ingat, Encik Mifzal. Saya ni isteri orang.”-Seroja “Isteri kepada suami yang langsung tak tahu nak hargai awak, baik awak tak ada suami, Seroja.”-Mifzal Khaisy Ya. Kerana itulah Seroja tenang bila dirinya dilepaskan. Dia tak perlukan lelaki jika hanya untuk menyakiti, namun hidupnya bukanlah semudah yang dia impikan. Bila dah bergelar janda, semakin kuat pula dirinya diuji. Sikap terlebih ambil berat Mifzal ada kalanya begitu melemaskan. “Kenapa awak buat semua ni untuk saya?”-Seroja “Sebab saya nak kita nikah. Jadi yang halal untuk saya.”-Mifzal Khaisy Bila Mifzal buat kerja gila, Seroja tak boleh nak kata TIDAK! Dia lemas di bawah kasih sayang Mifzal, namun bila ujian muncul membadai, Mifzal bagaikan orang yang tak ada hati. Menyakiti seolah-olah langsung tak sayang. Diamnya Mifzal menyesakkan Seroja. “Andai benar cinta itu telah hilang… lepaskan agar tiada hati yang terus terluka…”-Seroja