Ini kisah pencarian seorang ‘Zulaikha’ yang mencari ‘Yusuf’nya. Diari hijau muda menjadi saksi liku-liku hidup Hani Zulaikha dari alam remaja sehinggalah ke alam dewasa. Hani Zulaikha, dia bukan sembarangan gadis. Ketegasan dan sikapnya yang prejudis terhadap kawan-kawan yang mula berpasang-pasangan (lelaki dan perempuan) telah mengundang ujian buatnya. Benarlah, kita selalunya diuji dengan apa yang kita katakan... Hani Zulaikha jatuh cinta dengan Mohamad Faris. Ah sudah... Tetapi, nama lelaki itu hanya berani dia coret di dalam diari hijaunya. Cintanya pada Faris dipendam dalam-dalam sehinggalah mereka bertemu kembali semasa majlis alumni sekolah. Ikrarnya untuk tidak bercinta sebelum bernikah lenyap begitu saja. Faris datang menagih cintanya dan Hani Zulaikha rela menghulur cintanya. Namun, langit tidak selalu cerah. Setelah hampir dua tahun menyulam kasih, Hani Zulaikha dibiarkan oleh Faris dengan harapan setinggi langit. Faris, sampainya hati... Tapi, Allah Maha Baik. Perancangan Tuhan, tiada siapa yang tahu. Kepergian Faris membawa seribu satu rahmat buatnya. Pencarian 'Zulaikha" mencari 'Yusuf'nya tidak berhenti di situ saja. Kehadiran seorang lelaki yang tidak disangka-sangka telah membuka cerita baharu dalam diari hijau muda itu. Zikri. Ahmad Zikri. Ahmad Zikri bin Ahmad Kamal.