Margins
Tak Lerai Diasak Zaman book cover
Tak Lerai Diasak Zaman
Dikir Barat Seni Hiburan Rakyat
2016
First Published
99
Number of Pages

Dikir Barat merupakan sejenis seni hiburan rakyat. Dikatakan seni hiburan rakyat kerana ia dipersembahkan sendiri daripada kalangan mereka untuk menghiburkan masyarakat itu pula. Ia sebenarnya muncul di negara ini sejak awal abad ke-20 lagi, menjadi salah satu seni yang sangat popular, digemari ramai dan dianggap cukup menghiburkan. Dikir Barat dipersembahkan dalam bentuk berkumpulan. Lazimnya, antara 15 hingga 25 orang ahli dalam satu-satu kumpulan. Setiap kumpulan terbahagi pula kepada dua komponen, iaitu pemuzik yang mengiringi, dan para pendikir yang menyampaikan nyanyian menurut tertib dan susunannya. Dikir barat menjadi semacam sebuah ‘institusi’ penyatuan orang ramai serta alat atau komponen ampuh dalam pemupukan jalinan gaya hidup yang harmonis. Jika dahulu, ia penting dan berkembang subur di kampung-kampung dan desa, kini ia menjengah kota-kota pula, menjadi item pilihan di pentas-pentas utama pelbagai majlis dan acara, bahkan dipersembahkan juga di peringkat antarabangsa. Buku ini menghuraikan secara yang agak lengkap atau terperinci tentang sejarah seni dikir barat, perkembangannya dari satu era ke satu era, serta penerangan khusus tentang teknik persembahan, termasuk beberapa langkah inovasi ataupun pembaharuan agar kesenian ini kekal relevan dengan tuntutan khalayak semasa, sambil teguh mempertahankan keasliannya. Jika pada masa lampau, pengisian persembahannya penuh dengan nyanyian dan lagu dendangan yang indah-indah, yang sehingga kini masih dikekalkan dengan baik, namun sekarang telah diberikan motif baharu yang lebih segar, lebih kreatif selain penuh warna-warni. Demikian isi yang diutarakan dalam persembahan dikir barat misalnya, kalau dahulu tentang kehidupan petani dan nelayan, interaksi sesama anggota masyarakat, kisah-kisah penuh teladan untuk dicontohi dalam kehidupan sehari-harian, tentang kasih sayang termasuk menyalurkan pelbagai informasi, sekarang ia malahan telah membincangkan isu-isu besar semasa negara yang penting, hal ehwal dunia tidak terkecuali krisis di peringkat global melalui kupasan dan analisis yang kritis, bersifat analitikal, melalui gaya dominan seni dikir barat yang santai, penuh kemeriahan, kadang-kadang bersahaja, atau sarat humor, sesungguhnya sangat kuat berimpak.

Authors

Lim Swee Tin
Lim Swee Tin
Author · 5 books

Dipetik dari Ujana Ilmu. Lim Swee Tin bukanlah nama baru dalam dunia kepenyairan. Beliau merupakan penerima S.E.A Write Award 2000 (penghargaan tertinggi bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh Kerajaan Diraja Thailand. Selain sering muncul di kaca televisyen mendeklamasikan puisi, penyair Lim Swee Tin turut giat memberi ceramah penulisan kreatif di dalam dan luar negara. Beliau pernah diundang mendeklamasikan sajak di Singapura, Indonesia, Thailand, Taiwan dan United Kingdom. Beliau kini Pensyarah Kesusasteraan Melayu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM). Dilahirkan di Bachok Kelantan pada 26 September 1952. Dalam bidang penulisan, Lim cenderung menulis puisi. karya awalnya terbit pada tahun 1973. Lim juga menghasilkan cerpen, novel dan tulisan-tulisan bercorak kesusasteraan. Pada tahun 1990, beliau mewakili negara pada acara Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur. Pada tahun yang sama, Dewan Bahasa dan Pustaka memilih beliau bagi program Penataran Karya Sastera selama hampir sebulan di Jakarta, Indonesia. Antara karya yang telah diterbitkan ialah "Eva" (1981), "Akrab" (1985), "Menyusur Musim" (1991), "Seorang Anak Kecil dan Sajak-sajak Lain/A Child and Other Poems (puisi dwibahasa, 1993), "Masih" (1997), "Sebuah Fragmen Cinta" (1998) dan "Nyanyian Sepi" (puisi dwibahasa, 2000). Lim Swee Tin pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/83, 1986/87, 1988/89, Hadiah Penghargaan Anugerah Puisi Putra 2, 1983 melalui antologi "Akrab". Hadiah kedua Peraduan menulis Cerpen dan Puisi 100 Tahun Kuala Lumpur, Hadiah Sastera Utusan Melayu - Public Bank, Hadiah Cerpen DBP-Maybank dan banyak lagi. Puisi beliau berjudul "Ketika Kami Bercerita Tentangnya" telah dipilih sebagai teks puisi di dalam antologi "Anak Bumi Tercinta" yang merupakan antologi Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu bagi Tingkatan 3.

548 Market St PMB 65688, San Francisco California 94104-5401 USA
© 2025 Paratext Inc. All rights reserved