Zahari Affandi atau nama sebenarnya, Asari Ismail, mendapat pendidikan awal di di Sekolah Kebangsaan (SK) Pahi, kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah (SM) Sultan Yahya Petra, Kuala Krai. Beliau mengikuti Penulisan Kreatif dan Deskriptif di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan Diploma Books Publishing di Boston University, Amerika Syarikat pada tahun 1980. Beliau pernah berkhidmat sebagai wartawan di Utusan Melayu, pengelola Ruangan Sastera di Mingguan Malaysia dan majalah URTV sebelum meninggalkan Utusan Melayu pada tahun 1982. Beliau membuka syarikat penerbitan sendiri, iaitu Citra Publishing Sdn Bhd yang mengurus kerja pracetak bahan penerbitan untuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Di samping itu, syarikatnya juga menjalinkan usaha sama penerbitan dengan DBP dan Pemodalan Nasional Berhad (PNB) bagi penerbitan majalah. Sehingga kini beliau telah menghasilkan hampir 30 buah novel dan puluhan cerpen. Sementara belasan cerpen pula menerima pelbagai hadiah sayembara. Cerpen Anak Gembala dan Memori Seorang Tua pula dijadikan Teks KOMSAS Bahasa Melayu untuk Tingkatan 4 dan 5 (2011-2-16).