
“Saya Saleha tuan, bukan Sakura.” – SALEHA “Aku tak suka nama kau. Nama kampung.” – YUKI YUKI AKAISHI, kacukan Melayu-Jepun, mengikut neneknya pulang ke Malaysia kerana kemurungan. Tidak mampu berjalan selepas kemalangan, tunang pula memutuskan pertunangan dan berkahwin dengan lelaki lain, YUKI hilang semangat untuk hidup. Kerana kecewa dia tidak mahu meneruskan rawatan di Jepun. Kemunculan SALEHA merubah hidup YUKI. Kisah hidup Saleha membuatkan YUKI sedar ada orang lebih malang dari dirinya. SALEHA adalah mangsa dera ibu sendiri dan dipaksa bekerja untuk menganggung keluarga. “Kahwin dengan aku.” – YUKI SALEHA sedar lamaran YUKI bukan atas cinta tapi semata-mata menjadikan dia penjaga ‘halal’ untuk lelaki itu. Walaupun berkali-kali menolak, sudah tersurat jodoh di antara mereka berdua. SALEHA terpaksa menerima lamaran YUKI kerana hutang emaknya. “Kau janji akan jaga aku sampai bila-bila. Kau janji tak akan tinggalkan aku.” – YUKI SALEHA memberikan janjinya kepada sang suami. Namun sesuatu terjadi menyebabkan YUKI terpaksa kembali ke Jepun seorang diri. YUKI berjanji akan membawa SALEHA ke Jepun. Namun janji tinggal janji sehingga empat tahun berlalu. Selepas empat tahun YUKI muncul kembali dan menuntut SALEHA kembali kepadanya. Namun SALEHA enggan dan meminta perceraian. YUKI tidak mahu melepaskan isterinya. “Tuan tak cintakan saya. Kenapa saya perlu kembali dekat tuan?” – Saleha “Aku ada pernah kata ke, aku tak cintakan kau.” – Yuki. Benarkah tiada cinta di hati Yuki buat isterinya? Adakah Saleha akan menerima Yuki Kembali?