
Amir Husaini, atau Dr. Shaikh Mohd Saifuddeen, dilahirkan di Pulau Pinang. Anak kepada pasangan Shaikh Mohd Salleh Shaikh Abdul Razak dan Sara Zainal Abidin ini mendapat pendidikan menengah di SMK Sultan Badlishah di Kulim, Kedah sebelum melanjutkan pengajian di University of Glasgow, Scotland dalam bidang Kimia bagi peringkat sarjana muda, dan Pengurusan Perniagaan bagi peringkat sarjana. Beliau juga memiliki ijazah sarjana sains di dalam Falsafah Sains daripada Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan seterusnya pengajian doktor falsafah juga di dalam Falsafah Sains di universiti yang sama. Novel pertama beliau bertajuk Ombak Senja telah menemui pembaca pada tahun 2007. Novel Transgenesis: Bisikan Rimba adalah novel kedua yang ditulis oleh Amir Husaini dan yang pertama yang diterbitkan oleh PTS tahun 2008. Selain itu, beliau telah menghasil Cerpen Kilt dan kimono (majalah Dewan Siswa, November 2010, halaman 14-16) dan Mencari Cahaya di Bumi Sakura (majalah Dewan Sastera, Julai 2010, halaman 34-40). Pada tahun 2007, beliau telah memenangi tempat kedua dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Berunsur Islam (kategori televisyen) bertajuk Zuriat anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). dan novel ketiganya Detik telah memenangi tempat ketiga Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM - Kumpulan Utusan 2012. Beliau mendirikan rumah tangga dengan seorang guru, Norhana Ghazali. Nama pena Amir Husaini sebenarnya diambil bersempena nama putera sulung beliau.