
Buku motivasi yang bertajuk Hidup Penuh Erti: Cerita dari Hati adalah sebuah buku gabungan Hilal Asyraf dan Aiman Azlan. Mereka berdua berkongsi pelbagai isu yang mencuit daripada pelbagai topik yang menjalar dalam kehidupan kita, dengan harapan supaya di celah-celah penyampaian buku ini, dapat kita mengenali diri sendiri. Identiti kita yang sebenar adalah kita merupakan hamba Allah s.w.t. Itu identiti kita. Segala pergantungan kita adalah kepada-Nya, segala tindak-tanduk, dan perlakuan kita adalah kerana-Nya. Semoga cerita-cerita hidup kita nanti, kala ditayangkan di akhirat kelak, merupakan cerita-cerita yang indah, dan menjadi punca untuk Dia merahmati kita, seterusnya memberikan kita tempat di syurga-Nya. Semoga Allah s.w.t. meredhai kita semua. Insya Allah.
Authors

MUHAMMAD HILAL ASYRAF atau lebih dikenali sebagai Hilal Asyraf, merupakan graduan Yarmouk University(2012), Jordan dalam bidang Usuluddin. Beliau telah memulakan karier sebagai seorang penulis semenjak April 2009 dengan karya sulung, Novel VT dan Buku Motivasi Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita. Semenjak itu, beliau aktif mengarang karya-karya fiksyen dan non-fiksyen. Kini telah menghasilkan lebih 40 judul karya. Beliau juga merupakan pengasas kepada web LangitIlahi.Com, dan semenjak penghujung 2016, beliau telah menubuhkan perniagaan penerbitan beliau sendiri - Hilal Asyraf Resources, dan mula menerbitkan sendiri karya-karya beliau.