
Part of Series
Ikramah, anak kepada Abu Jahal ketika zaman kegelapan sangat memusuhi nabi. Pelbagai cubaan dilakukan untuk membunuh nabi. Dia sanggup bertemu Raja Yaman memohon kerjasama memerangi nabi. Suatu hari Rasulullah mengeluarkan arahan supaya membunuh Ikramah. Lantaran takut dan banyak pengikutnya yang belot, Ikramah tidak mempunyai cara lain selain bersembunyi. Pun begitu, dia masih menghendaki kehidupan yang bebas. Lalu dia mengambil langkah berani yang bercanggah dengan bapanya Abu Jahal. Dengan bantuan Laila, isterinya dia mengatur pertemuan dengan Rasulullah walaupun dia sedar risikonya. Pelik dan ajaib sekali, Rasulullah dapat menerima kesediaannya memeluk Islam. Sikap pemaaf nabi itulah yang meruntun jiwanya. Akhirnya dia memeluk Islam dan menjadi antara pembela Islam yang paling berani. Antara peperangan yang diketuai Ikramah ialah menentang nabi palsu, Musailamah al-Kazzab pada zaman khalifah Islam Abu Bakar Ash-Shidiq.
Author

Abdul Latip Talib, penulis kelahiran Negeri Sembilan ini sedang mengukir nama di persada sastera tanah air. Dilahirkan di Kg. Ulu Seperi, Rembau, Negeri Sembilan mula menceburkan diri dalam bidang penulisan pada tahun 1990 dalam pelbagai genre; skrip drama TV, cerpen, puisi, dan novel. Sejak itu karyanya banyak meraih hadiah seperti Sayembara Cerpen Berunsur Islam, Hadiah Sastera Utusan, Sayembara Cerpen Perpaduan, dan Anugerah Sastera Negeri Sembilan. Novel Randau Ruai memenangi hadiah pertama Peraduan Menulis Sastera dan Budaya Sarawak manakala novel remaja Beraraklah Awan Pilu memenangi Hadiah Sastera Utusan 2005. Penulis ini telah menghasilkan novel pahlawan Islam Salahudin Ayubi, Khalid Walid, Ikramah Abu Jahal, dan Tariq Ziyad. Kesemuanya diterbitkan oleh PTS.