
Part of Series
Nama sebenarnya An-Nukman bin Thabit lahir pada tahun 80 hijrah/699 masihi di sebuah kampung bernama Anbar di daerah Kufah, Baghdad. Mendapat gelaran Abu Hanifah kerana mempunyai seorang anak bernama Hanifah. Tetapi ada pula yang mengatakan beliau suka membawa dakwat ke mana sahaja beliau pergi lalu digelar Hanifah bererti dakwat dalam bahasa Parsi. Kemudian beliau lebih dikenali sebagai Imam Hanafi. Beliau berkata “Aku memberi hukum berdasarkan al Quran. Sekiranya tidak terdapat dalam al Quran aku gunakan hadis. Jika tidak terdapat pada keduanya (al Quran dan hadis) aku gunakan pendapat para sahabat Rasulullah SAW. Aku berpegang pada pendapat siapa sahaja daripada mereka dan membuang mana-mana pendapat yang bertentangan dan aku berpegang pada pendapat yang benar sahaja.” Beliau dikurniakan umur yang panjang. Beliau sempat hidup di bawah pemerintahan kerajaan khalifah Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah. Beliau terkenal sebagai seorang yang ahli dalam ilmu fikah dan tauhid. Beliau belajar daripada lebih 200 ulama yang terbilang pada masa itu. Antaranya Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Masud. Beliau juga sangat terkenal dengan kebolehan berdebat. Kebolehannya itu sangat dihormati lawan dan kawan. Imam Abu Hanifah meninggal dunia dalam penjara pada tahun 150 hijrah ketika berumur 70 tahun. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan al Khaizaran yang terletak di timur kota Baghdad. Novel ini menceritakan dengan lebih lanjut siapa Imam Hanafi dan mengapa beliau dianggap sebagai pendebat kebenaran.
Author

Abdul Latip Talib, penulis kelahiran Negeri Sembilan ini sedang mengukir nama di persada sastera tanah air. Dilahirkan di Kg. Ulu Seperi, Rembau, Negeri Sembilan mula menceburkan diri dalam bidang penulisan pada tahun 1990 dalam pelbagai genre; skrip drama TV, cerpen, puisi, dan novel. Sejak itu karyanya banyak meraih hadiah seperti Sayembara Cerpen Berunsur Islam, Hadiah Sastera Utusan, Sayembara Cerpen Perpaduan, dan Anugerah Sastera Negeri Sembilan. Novel Randau Ruai memenangi hadiah pertama Peraduan Menulis Sastera dan Budaya Sarawak manakala novel remaja Beraraklah Awan Pilu memenangi Hadiah Sastera Utusan 2005. Penulis ini telah menghasilkan novel pahlawan Islam Salahudin Ayubi, Khalid Walid, Ikramah Abu Jahal, dan Tariq Ziyad. Kesemuanya diterbitkan oleh PTS.