
Authors

MUHAMMAD SYAHMI HAFIZUDDIN BIN ARMAS adalah seorang pemuda yang tak menyangka dia mempunyai bakat menulis. Apatah lagi dapat menerbitkan sebuah novel. Tapi oleh kerana sejak kecil dah gemar berimaginasi sampai nak gila kepala, akhirnya dia membuat keputusan untuk menyalurkan idea-ideanya ke dalam karya penulisan yang pelbagai sebelum kepalanya meletup. Gemar menulis kisah-kisah yang memotivasikan dan genre aksi ala-ala filem hollywood gitu. Ada menerbitkan beberapa cerpen dalam majalah. Dan novel pertamanya yang padat dengan aksi- TANGKAS.

Penulis novel trilogi Projek Athena. Editor fiksyen dan pereka letak buku. Suka berkongsi tips-tips penulisan di Youtube dalam channel Syeraho.


Mula menulis sejak kecil lagi dengan menulis diari dan masih lagi menulis diari sehingga sekarang. Sekitar 2008, mula menulis untuk umum pula apabila aktif menulis cerpen. Kemudian, pada 2010 buku pertamanya terbit di bawah rumah penerbitan JS Adiwarna Publications & Distributors. Buku pertamanya adalah buku kanak-kanak yang berjudul Si Cantik Cempaka. Kemudian, terbit pula novel umum pertama, Gerabak Merah Jambu. Novel umum terbaharunya yang terbit pada 2013 berjudul Dia Bukan Shah Rukh Khan. Cita-cita utama dalam penulisan sekarang adalah mahu menulis sebuah kesah psychological-thriller atau kesah cinta bersulam elemen psikologi. Penulis kegemaran, tak ada yang spesifik tapi kalau berdasarkan daripada penulis yang banyak dibaca bukunya: Haruki Murakami, Faisal Tehrani, Andrea Hirata, Azizi Haji Abdullah, Isa Kamari, dll yang tak ingat. Jadi, kesimpulannya, bukanlah tentang penulis sangat tapi isi cerita yang dipersembahkan. Antara karya yang sudah terbit: 1. Si Cantik Cempaka (2010) 2. Gerabak Merah Jambu (2012) 3. Bukan Suatu Kebetulan (Antologi Cerpen 'Kisah Cinta Seribu Wajah') 4. Dia Bukan Shah Rukh Khan (2013) 5. Konspirasi (Antologi Cerpen 'Kerana Dia, Ratu Sehari') 6. Demimu Suri, Aku Sanggup Mati (Antologi Cerpen 'Cinta Pertama)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM atau nama penanya Ibnu Ibrahim At-Tawari, SMahadzir, SMSI dan SMSIbrahim. Beliau memulakan alam persekolahannya di Sekolah Kebangsaan Tawar, Baling, Kedah, Sekolah Kebangsaan Kota Bukit, Sik, Kedah, Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah, Institut Teknologi Mara (ITM) - Diploma Kajian Reka Bentuk dan Universiti Putera Malaysia – Ijazah Sarjana Muda Linguistik. Beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Penerangan di Jabatan Perhubungan Awam, Lembaga Letrik Negara, Pengurus Editorial di Food and Agriculture of Organization (FAO) of United Nation, Editor dan Pengurus Editorial di beberapa buah syarikat penerbitan dan kini merupakan Pengurus Pentadbiran Pujangga Gemilang Resources dan Ketua Fasilitator PPSB/PLKN, Dewan Bahasa Pustaka dan Jabatan Latihan Khidmat Negara, Exco Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, Setiausaha Persatuan Penulis Dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) dan Setiausaha Persatuan Penggiat Seni Budaya Daerah Kuala Langat (PESAT). Beliau sering dijemput sebagai hakim dalam pertandingan mendeklamasi puisi, syarahan, bercerita, tarian tradisional, teater, nyanyian lagu-lagu asli, nyanyian lagu-lagu patriotik, pantun dan juga nyanyian lagu-lagu irama Malaysia peringkat daerah, negeri dan juga kebangsaan. Bidang penulisan beliau ialah cerpen, esei, fiksyen misteri, berita, puisi, skrip drama tv, skrip drama radio, skrip drama pentas dan novel. Sehingga kini beliau telah menghasilkan lebih dari seratus buah buku dalam pelbagai genre.



