
"Ada banyak doa yang terkandung dalam buku ini. Doa-doa itu dapat digunakan sesiapa sahaja yang membacanya. Berdoa tidak semestinya dalam bahasa Arab, malah bukankah doa itu menjadi lebih bermakna apabila kita berdoa dalam bahasa yang kita fahami." - Nisah Haron, penulis dan peguam. "Roza menyingkap dan mentafsirkan makna kehidupan yang dilaluinya daripada sudut ketuhanan. Bagaimanakah seharusnya kita memaknai dan mengisi kehidupan ini supaya memberi saham besar ketika menuju ke destinasi abadi. Sudahkah kita mengharungi kehidupan ini mengikut landasan yang benar dan betul. Mungkinkah kita lebih banyak dikuasai dan dipengaruhi oleh emosi melulu dan bukan akal sihat sesuai dengan ajaran Allah." - Dr. Jeniri Amir, penulis dan pensyarah UNIMAS. "Roza tidak pernah mahu menjadi jaguh mahupun seorang wirawati. Secara sedar beliau menganggap dirinya sebagai insan yang tidak mustahak dan ramakan pengalamannya adalah kisah biasa-biasa yang dilalui oleh seorang yang juga biasa-biasa. Namun, yang biasa-biasa itulah menarik dan luar biasa sehingga kita ketawa dan menitiskan air mata sambil tertanya-tanya peranan dan kehadiran diri kita di dalamnya." - Prof. Dr. Hatta Azad Khan, Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.
Author

Roza Roslan atau nama sebenar beliau Raudzah Roslan adalah mantan pensyarah di Universiti Teknologi MARA. Beliau kini bertugas di Universiti Taibah, Madinah. Beliau dilahirkan pada 2 Januari 1967 di Jementah, Segamat, Johor. Beliau berkelulusan Diploma Perbankan UiTM Terengganu, BBA (Hons) Pengurusan Sumber Manusia UiTM Shah Alam dan seterusnya M.A Pentadbiran Bisnes di universiti yang sama. Beliau juga adalah isteri kepada penulis bestseller Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim yang menulis buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman dan Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok. Kisah beliau banyak termuat di dalam karya suaminya yang banyak menceritakan pengorbanan dan sokongan beliau dalam menjalani hidup beragama.