
Kasih Nan Agong Kalau moyangmu mawas, datukmu beruk, siapakah itu Adam dan Hawa? Mahukah kau dikatai benda kerana yang ghaib didakwa tiada, dan kata "Tuhan" dituduh kosong makna? Hendakkah kau andai wujudmu ditarafkan setara barang umpama sepasang baju atau sebatang pokok atau sebuah komputer atau sebutir bom atau seketul daging, semata-mata? Fitrah manusiawimu tentu dapat menimbang di balik otak ada akal, di balik jasad ada jiwa dan di hujung hidup ada fana. Tidakkah kasihan, otak nan cerdik sampai merumuskan jurai leluhurmu berevolusi daripada salasilah kera! Ulasan karya : Naskhah Kasih Nan Agung menampilkan watak wira unggul Jaka Sulaiman Awang Safar yang menuntut jurusan paleoantropologi tahun akhir di Universiti California, Berkeley, Amerika Syarikat. Watak ini dibina dengan ketajaman fikiran dan kefasihan lisan yang perkasa menentang segolongan ahli akademik di universiti itu yang mendukung teori evolusi Charles Darwin. Penyuguhan falsafah metarialisme yang cuba diindoktrinkan oleh warga akademik itu cuba dicabar oleh Jaka Sulaiman sehingga dirinya sendiri terjerat dan diheret ke kancah konflik yang berlarutan. Tindakan kontradik Jaka Sulaiman menyebabkan dia ditembak oleh Maximilian Blake yang merupakan salah seorang pendukung Darwinisme. Melalui kaedah wacana argumentatif dan keutuhan pegangan Jaka Sulaiman dalam melawan hegemoni ilmu Barat, dia berjaya meruntuhkan teori evolusi Darwin secara ilmiah dengan pendekatan ilmu Islam. Kehadiran watak Jaka Sulaiman bersandarkan wahyu ALLAH berjaya menenggelamkan dominasi Barat dalam mempertahankan falsafah mereka yang batil dan berselindung di sebalik hujah-hujah palsu serta mengelirukan. Novel yang memenangi tempat pertama HSKU ini bukan sahaja memberikan pengalaman pembacaan yang menyeronokkan malah mampu membuka luas horizon keilmuan. Kalangan remaja yang menjadi sasaran pembaca utama novel ini dapat meneroka suatu ruang baharu, sekali gus menjadikan mereka sentiasa bersikap terbuka dengan kehadiran ilmu yang bermanfaat. ________________________________ Novel ini telah memenangi tempat PERTAMA Pertandingan Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (ExxonMobil) 2008 Pertama Kasih Nan Agung Sri Rahayu Mohd Yusop Kedua Jendela Menghadap Jalan Rohaini Matdarin Ketiga Meniti Jalan Hadapan Norziati Mohd Rosman