Buku ini menampilkan sebuah koleksi terpilih karya-karya pelbagai genre Sasterwan Negara A. Samad Said. Himpunan karya ini terkadang menyembunyikan sebahagian pengamatan kehidupannya, terkadang menyerlahkan idealisme dan keinginan batinnya dan terkadang menyatakan sikap hidup dan tentangannya terhadap kekerasan, kekasaran dan kepincangan dunia. Ia juga boleh menjadi sebuah denai rahsia pernyataan seninya: Mengapa pada satu ketika dipilihnya puisi, pada ketika lain cerpen; mengapa ada ketikanya dia mengghairahi drama, novel, warkah atau diari. Peribadinya juga masih rahsia, padahal rakaman itu dibangunkan daripada perhubungan dan pencarian tulen dalam kehidupan hariannya. Himpunan ini bukan sahaja menyerlahkan kemampuan Samad menguasai pelbagai genre sastera, malah, kepada para penelaah, diserlahkan juga imbasan sebab musabab pemilihan genre-genre itu.