


Books in series

#1
Cikgu Akbar
2022
Akbar—seorang guru muda bervisi besar. Sebaik sahaja ditugaskan sebagai guru Tingkatan 4 Saga, dia sudah teruji apabila pelajarnya, Nadim sudah sebulan tidak hadir ke sekolah.
Menurut Ikram, Nadim tidak hadir gara-gara tidak tahan dibuli Furqan. Berang dituduh, Furqan yang panas baran langsung membelasah Ikram. Tidak semena-mena, Cikgu Akbar turut terkena tempiasnya.
“Tapi kalau cikgu tak jumpa Nadim, lambat-laun keadaan akan jadi lebih buruk untuk dia juga.”
“Itu bukan urusan kau!”
“Pelajar kelas saya bakal dibuang sekolah, itu awak kata bukan urusan saya?”
Risau akan keadaan pelajarnya, Cikgu Akbar bertekad untuk menyelesaikan kes buli di kelasnya supaya Nadim dapat kembali ke sekolah.
Apakah punca sebenar Nadim tidak hadir ke sekolah? Mampukah Cikgu Akbar menyelesaikan masalah pelajarnya dengan adil?

#2
Doktor Johari
2022
Sikap Doktor Johari yang ikhlas dan peramah membuatkan beliau disenangi oleh semua penduduk Kampung Batu Tenggelam tanpa mengira umur dan bangsa.
Walaupun beliau merupakan satu-satunya doktor yang berkhidmat di kampung itu, Doktor Johari tetap gigih dan berjaya memenuhi keperluan semua penduduk.
Sehinggalah pada suatu hari, banjir besar berlaku. Akibatnya, kemalangan terjadi di mana-mana. Bantuan dari bandar pula tersekat. Lambakan mangsa kian memenuhi ruang klinik yang kecil. Buat pertama kalinya, pasukan kecil Doktor Johari terpaksa menangani krisis sebesar itu.
Keadaan menjadi semakin keruh apabila klinik kekurangan staf dan peralatan untuk merawat.
“Mampukah kita?” Seorang staf klinik menyatakan kerisauan.
“Kita diberi amanah, dan kita akan tunaikan amanah kita.”
Mampukah Doktor Johari dan pasukan kecilnya bertahan sehingga bantuan sampai?

#3
Psikologis Imran
Ketakutan Influencer Muda Menghadapi Tanggapan Followers
2022
Imran merupakan seorang pegawai psikologis klinikal berpengalaman. Tidak cuma berdedikasi, sikapnya yang ceria dan tenang juga membuatkan staf dan klien menyukainya. Suatu hari, Imran telah dirujuk seorang klien bernama Katrina Damia, seorang gadis pempengaruh (influencer) kecantikan yang terkenal.
"Sampai satu tahap, saya tak boleh tidur malam. Saya menangis bila fikir kenapa ada yang benci sangat dengan saya."
Oleh sebab kerisauan melampau yang dialami Damia, Imran telah mengatur pelan terapi khusus untuknya. Pada awalnya, sesi terapi berjalan lancar, namun pada suatu hari Damia tidak lagi menghadirkan diri. Lebih merisaukan, Damia sebenarnya telah didiagnosis mengalami Anxiety Disorder.
Apakah yang menyebabkan Damia tiba-tiba berhenti? Mampukah Imran meyakinkan kliennya agar meneruskan sesi terapi?

#4
Chef Sufi
2023
Sufi—seorang sous chef di sebuah restoran 5 bintang bercita-cita membuka restorannya sendiri. Demi mencapai impiannya menjadi seorang chef yang pantas dan mahir, Sufi terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga.
Tanpa diduga, ibu bapanya terlibat dalam sebuah nahas kemalangan jalan raya lalu meninggalkan Sufi sendirian untuk membesarkan adik perempuannya.
Sufi akhirnya bertekad membuka perniagaan trak makanan untuk menyara keluarga. Namun,segalanya mula terlerai. Rupanya, memulakan perniagaan tidaklah semudah yang Sufi sangka, ditambah pula masalah hubungan dengan adik yang masih dingin.
“Kalau abang tak sibuk sangat kerja pada hari tu, mesti papa dan mama...
Mampukah Sufi dan adiknya berdamai? Bagaimana pula dengan cita-cita Sufi untuk membuka restorannya sendiri—adakah akan tercapai?

#5
Veterinar Delia
2023
Delia—seorang veterinar yang sangat profesional dan penyayang ketika memberikan rawatan kepada haiwan-haiwan memerlukan. Dia bekerja di Klinik Veterinar Adelia, yang dimiliki Delia bersama kembar lelakinya, Addy.
Namun, semakin hari Delia berasa semakin tertekan apabila terpaksa berhadapan pelbagai kerenah pemilik-pemilik haiwan itu.
“Kenapa arnab saya tiba-tiba mati? Doktor tolonglah selamatkan arnab kesayangan saya tu!”
“Saya sebenarnya tak mahu dah bela hamster tu. Doktor jagalah atau jual saja!”
Situasi yang menekan itu membuatkan Delia rasa keseorangan. Usahanya seakan tidak dihargai, seolah-olah dia seorang saja mahukan yang terbaik untuk haiwan-haiwan yang dirawat.
Adakah Delia mampu terus bersabar dan mencari semula kegembiraan dalam bekerja sebagai seorang veterinar?