
Hidupnya hanya membesar di kampung sejak kecil. Kehilangan ibu bapanya ketika dia remaja, menjadikan dia lelaki yang bijak berdikari. Ditambah lagi dia mahu menjaga atuk, lelaki yang sanggup menjaganya setelah dia kehilangan arwah ayahnya. “Jadi… kaulah Megat Abbas.” - CAHAYA SOFEA “Ya. Kau siapa?” - MEGAT ABBAS Namun, semuanya berubah sebaik saja muncul seorang gadis pelik di kampung mereka. Paling tak masuk akal, dia diminta oleh gadis itu untuk mengikutnya. “Lebih baik kau pergi dari sini. Ini tempat aku. Aku tak suka orang luar masuk kawasan kebun aku.” - MEGAT ABBAS “Kau cakap aku orang luar? Sebab kaulah aku datang sini! Kalau tak disebabkan tok ayah, tak ingin aku nak jejakkan kaki dekat tempat jin bertendang ni.” - CAHAYA SOFEA Dalam sekelip mata, hidupnya berubah 180 darjah. Tiba-tiba dia mempunyai sebuah rumah agam dan harta warisan yang bernilai berjuta-juta ringgit. Paling tak disangka, dia masih mempunyai saudara kandungnya, iaitu tok ayah. Kehadiran pewaris sebenar di rumah itu menjadikan Abbas sebagai sasaran musuh terdekat. Abbas semakin tertekan apabila dia terpaksa menetap di situ. Dan sekali lagi hidupnya berubah mendadak disebabkan satu peristiwa yang tak dijangka. “Kau ni memang perempuan keji. Kalau kau nak sangat jadi isteri aku, baik... kita kahwin!” - MEGAT ABBAS Akhirnya dia akur dengan permainan musuh sendiri. Berkahwin hanya disebabkan dendam, menjadikan Abbas nekad untuk mengikut rentak musuhnya. Namun siapa sangka, sejak awal lagi dia dilindungi oleh seseorang. “Aku akan lindungi dia dengan nyawa aku sendiri. Hanya dia yang berhak ke atas legasi tok ayah.” Mampukah Abbas mempertahankan haknya sebagai pewaris sebenar legasi tok ayah? Dan siapakah yang sanggup berkorban demi memastikan lelaki itu selamat?