
Dalam era digital yang serba menggugat ini, Lentera Ilmu: Catatan-Catatan Dunia Buku tampil sebagai suar yang menemani perjalanan pencinta buku dalam menghayati dunia membaca yang pancawarna. Himpunan 25 artikel yang terkandung dalam buku ini menyelami budaya membaca dalam pelbagai keadaan, mengangkat keajaiban buku sebagai medium yang luar biasa dan meraikan keistimewaan perpustakaan dan kedai buku sebagai kubu cahaya. Setiap artikel dalam buku ini mengundang pembaca untuk merenung dan menghargai kegiatan membaca dalam membentuk akal budi, selain mengenang pengaruh buku dalam sejarah peradaban manusia. Penulis ingin mengajak pembaca untuk meninjau kembali kepentingan peranan buku dan membaca dalam mendepani kehidupan masa kini. Lentera Ilmu bukan sekadar buku, melainkan sebuah juadah kata-kata yang menghidangkan inspirasi kepada semua untuk terus bergelumang dengan cinta yang luar biasa. Dengan bahasa yang mengalir dan cuba mempesona, buku ini dapat menjadi bacaan yang padat tetapi santai buat sesiapa sahaja yang ingin memperdalam cinta terhadap ilmu. Bergabunglah dalam perjalanan ini dan temukan inspirasi dalam sinar cahaya Lentera lImu.
Author

Anak kampung yang membesar antara susunan koleksi buku dan kegemaran membaca ayah ibu. Diheret ke pesta-pesta buku sejak sekolah rendah, walaupun pernah sekali terlupakan agenda keluarga untuk ke sana akibat asyik mencari ikan di sungai selepas balik mengaji. Waktu kecil dahulu, selalu disuap slogan “Cintailah Bahasa Kita” dan “Bahasa Jiwa Bangsa” di kaca TV. Akhirnya menjadi peminat A. Samad Said, tetapi pernah terhenti membeli buku beliau pada tahun 1995 (Cinta Fansuri) setelah surat ‘peminat’ zaman awal remaja tidak mendapat balasan daripadanya, serta usikan kakak dan adik yang tidak henti-henti mengenai peliknya seorang remaja seusia saya menyukai seorang sasterawan berjambang putih (dan beristeri dua). Kini setelah dewasa, menyedari betapa keanak-anakan memboikot pengarang hanya kerana surat peminat tidak dibalas dan tanggapan insan lain terhadapnya (hahaha). Mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kelantan dan Selangor; dan bersebab jasa dan bimbingan guru-guru di SKM, MMP Kota Bharu, Syamsul Maarif dan KISAS, sempat menadah ilmu di UIAM dan UM. Cita-cita selepas SPM adalah mahu menjadi pustakawan, kerana dipengaruhi artikel Shaharom TM Sulaiman mengenai pustakawan Islam yang masyhur. Tersasar ke dunia undang-undang sebelum mengubah haluan semula ke dunia perpustakaan & sains maklumat. Hasrat terbesar sejak dahulu adalah ingin menyumbang sesuatu untuk dunia keilmuan Melayu Islam terutama berpaksikan buku dan perpustakaan melalui penulisan. Insya-Allah, sangat ingin ditunjukkan jalan oleh Allah untuk menjadi sejarawan buku dan sejarawan perpustakaan, sambil mendidik 4 orang zuriat mendalami hakikat kehidupan.