
Anak kampung yang membesar antara susunan koleksi buku dan kegemaran membaca ayah ibu. Diheret ke pesta-pesta buku sejak sekolah rendah, walaupun pernah sekali terlupakan agenda keluarga untuk ke sana akibat asyik mencari ikan di sungai selepas balik mengaji. Waktu kecil dahulu, selalu disuap slogan “Cintailah Bahasa Kita” dan “Bahasa Jiwa Bangsa” di kaca TV. Akhirnya menjadi peminat A. Samad Said, tetapi pernah terhenti membeli buku beliau pada tahun 1995 (Cinta Fansuri) setelah surat ‘peminat’ zaman awal remaja tidak mendapat balasan daripadanya, serta usikan kakak dan adik yang tidak henti-henti mengenai peliknya seorang remaja seusia saya menyukai seorang sasterawan berjambang putih (dan beristeri dua). Kini setelah dewasa, menyedari betapa keanak-anakan memboikot pengarang hanya kerana surat peminat tidak dibalas dan tanggapan insan lain terhadapnya (hahaha). Mendapat pendidikan rendah dan menengah di Kelantan dan Selangor; dan bersebab jasa dan bimbingan guru-guru di SKM, MMP Kota Bharu, Syamsul Maarif dan KISAS, sempat menadah ilmu di UIAM dan UM. Cita-cita selepas SPM adalah mahu menjadi pustakawan, kerana dipengaruhi artikel Shaharom TM Sulaiman mengenai pustakawan Islam yang masyhur. Tersasar ke dunia undang-undang sebelum mengubah haluan semula ke dunia perpustakaan & sains maklumat. Hasrat terbesar sejak dahulu adalah ingin menyumbang sesuatu untuk dunia keilmuan Melayu Islam terutama berpaksikan buku dan perpustakaan melalui penulisan. Insya-Allah, sangat ingin ditunjukkan jalan oleh Allah untuk menjadi sejarawan buku dan sejarawan perpustakaan, sambil mendidik 4 orang zuriat mendalami hakikat kehidupan.