Himpunan 15 cerpen dengan tema cinta / romantik terpilih yang terbit di antara tahun 2000-2015. "Api tidak lagi membakar. Air tidak lagi membasah. Tanah tidak lagi menyawai. Angin tidak lagi mengudarai. Semua kehilangan sifat dan zat kerana satu – cinta!" -Syair Bunga dan Pasir, SM Zakir- "Perasaan itu hanya sebesar guli; cuma ia cantik mengilau – dengan spektrum warna pelangi yang halus bagai benang songket. Waktu ia melantun, cahayanya berekor – bagai pelangi, dan bunyinya lembut serta indah sekali. Tiap kali ia jatuh ke lantai, nadanya bagai not piano yang menyusun irama balada; manakala tiap kali bergesel pada dinding, bunyinya merengek bagai biola; nyaring tapi merdu." -Tiba-tiba Cinta pun Lenyap Entah ke Mana, Zainal Rashid Ahmad- "Tukasmu, aku perempuan berjiwa besar dan jelita. Berjiwa besar kerana aku pengembara. Cantik kerana mataku. Kau langsung memelukku, melafaz kata-kata ortodoks ini; I love you!" -Tahun depan di Jerusalem, Azman Hussin-