
Irene Sofia, gadis bandar yang hanya mahu bercuti seketika di kampung sabahat baiknya, Suzila. Namun, dia tidak pernah menyangka jiwanya akan terikat pada tenangnya ladang, sunyinya desa… dan seorang lelaki bernama Khalil. Khalil, dia lelaki yang tidak pandai berbicara tentang rasa. Tapi caranya melihat, diamnya yang melindungi dan langkahnya yang sentiasa hadir saat dia memerlukan. Cukup untuk membuat hati Sofia berdetak kencang di dalam diam. "Kalau desa ni ada nadi, saya rasa itu awak, Khalil. Awak yang hidupkan semuanya diam-diam..." - Sofia. "Saya cuma lelaki kampung yang hidup dengan tanah, Sofia. Saya buat semuanya kerana saya cintakan kampung ini." - Khalil. Namun, cinta itu terhimpit antara persahabatan dan pengorbanan. Suzila turut mencintai Khalil. Dan kerana itu, Sofia memilih untuk pergi… membawa bersama rasa yang tidak pernah sempat diluahkan. Waktu berlalu, namun rasa yang terpendam itu tidak pernah benar-benar terhapus. Rindu itu seperti senja di langit desa... Datangnya perlahan, bertebaran indah, dan pada akhirnya menghilang dengan rasa yang menyakitkan. Bila takdir mempertemukan mereka semula... adakah cinta itu masih kekal menunggu atau semuanya telah berlalu?