
Beliau adalah lelaki yang tidak berbelah bahagi hatinya mengucapkan kata-kata, "Wahai ibuku, demi Allah jika ibu mempunyai seratus nyawa dan nyawa itu hilang satu demi satu, aku tidak akan meninggalkan agamaku ini." Beliau didoakan oleh Nabi Muhammad SAW supaya makbul doanya dan tepat sasaran panahnya, sehingga beliau menjadi panglima perang yang berani dan antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Tidak cukup itu, beliau juga adalah pendakwah terawal yang sampai ke negara China bagi mengembangkan Islam. Dalam golongan Muhajirin, beliau yang terakhir meninggal dunia dan berpesan, "Kafani aku dengan jubah yang aku pakai semasa Perang Badar. Aku sengaja menyimpannya bagi keperluan itu." Beliau adalah Saad bin Malik bin Ahib bin Abdul Manaf az-Zuhri, yang digelar Faaris al-Islam atau Kesateria Islam. Inilah kisah beliau, kisah kesateria lslam.