
Part of Series
MUHAMMAD HAJI SALLEH Muhammad Haji Salleh dilahirkan di Taiping, Perak pada tahun 1942. Muhammad bersekolah di Sungai Aceh, Bukit Mertajam dab Kuala Kangsar. Kemudian menyambung pelajarannya di Maktab Perguruan Malaya di Brinsford Lodge, England, Universiti Singapura dan Universiti Malaya. Beliau menerima ijazah Ph. D dalam ilmu Perbandingan Kesusasteraan dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat. Sekarang menjadi Ketua Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur. Muhammad mula menulis sajak dalam bahasa Malaysia dan Inggeris sejak tahun 1963. Sajak-sajaknya dalam bahasa Inggeris pernah memenangi beberapa hadiah dan tersiar dalam majalah terbitan Malaysia, Singapura, Australia, England dan Amerika Syarikat, manakala sajak-sajaknya dalam bahasa Malaysia diterbitkan di Malaysia dan Indonesia. Selain dari menulis sajak beliau juga banyak membuat terjemahan dari kedua bahasa ini. Sajak-sajak Pendatang ini ditulis di Malaysia, England, Singapura, Indonesia dan Amerika Syarikat. Dalam keadaan yang sering di perjalanan dan di negeri asing, dia selalu saja tidak lebih dari pendatang, dan sajak-sajak ini ialah waktu-waktu dan kejadian-kejadian yang direbut dari masa dan pertukaran.
Author

Sasterawan Negara yang ke-6, 1991. Penerima S.E.A. Write Awards 1997. Tokoh Anugerah Akademik Negara 2008. Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dilahirkan pada 26 Mac 1942. Beliau mendapat pendidikan awal di High School Bukit Mertajam,Bukit Mertajam, Maktab Melayu Kuala Kangsar dan Malayan Teachers College Brinsford Lodge, England. Setelah itu, beliau menuntut di Universiti Malaya, Singapura dan mendapat Ijazah Sarjana Sastera. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Michigan, Amerika Syarikat di mana beliau mendapat Ph. D. Kerjayanya bermula sebagai seorang guru di Trade School Butterworth pada tahun 1960 dan kemudiannya meneruskan perkhidmatan perguruannya di beberapa buah sekolah hinggalah menjadi tutor, pensyarah, pensyarah kanan dan seterusnya menjawat beberapa jawatan akademik di universiti tempatan dan antarabangsa.Beliau juga pernah mencatat sejarah sebagai profesor termuda yang pernah dilantik ke jawatan itu pada tahun 1979 ketika berusia 37 tahun. Sekembalinya ke Malaysia, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia. Selama 42 tahun, beliau pernah bertugas di USM,UKM dan UM. Malah pernah dijemput mengajar di Amerika Syarikat, Brunei, Jerman dan Belanda sebagai profesor pelawat dan menerima ‘fellowship’ dari beberapa buah universiti di Amerika Syarikat, Jepun serta Belanda. Fokus penulisan beliau ialah puisi dan kritikan sastera dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta membawa sastera Malaysia menyeberang ke benua Asia, Eropah dan Amerika Syarikat. Beliau telah mencetus penubuhan dua pusat kajian Melayu iaitu di Universiti Islam Riau dan Universiti Jambi. Sajak dan kritikan sastera beliau diterjemah ke dalam 12 bahasa termasuk bahasa Belanda, China, Denmark, Ibrani, Itali, Jepun, Jerman, Korea, Rusia, Sepanyol, Thai, Vietnam,Portugis dan Perancis. Teks sastera klasik yang dikajinya ialah Hikayat Isma Yatim, Sulalat-as-Salatin dan Hikayat Hang Tuah dan lain-lain yang menonjolkan jati diri Melayu.