
Part of Series
Musim bunga turun dari bukit dan menegur kota. pohon bangun sakura pun senyum dan berasmara dengan cahaya. kumbang berdengung ke udara mabuk madu puspa. Menjadi pengembara bermakna menjadi seorang pemerhati. Ibarat merenung permukaan tasik, kaulihat rupa dan ragam penghuninya: menghadam segala riaknya, sesekali cuba memahamkan kocaknya. Muhammad Haji Salleh membawa kau membonceng basikal—memperinci alam dan watak-watak pelbagai latar yang merentas benua dan arus waktu. Bau soyu dan tempura membertih musim, helai-helai hari penjual batik di pasar sibuk, atau wanita berambut biru asyik merias untuk kekasih yang tak kunjung tiba—segalanya terlihat jelas di deria. Kau telusuri perjalanan kegelisahan seorang mahasiswa kepada kematangan seorang pemikir yang memperhalusi kerencaman budaya serta tradisi. Naskhah ini mengumpulkan 81 puisi terbaik sempena ulang tahun kelapan puluh Sasterawan Negara ini, di samping transkripsi temu ramah istimewa seputar kepengarangan beliau dan sastera Malaysia. Hari sudah hampir malam. Mahukah kau pulang, atau teruskan kelana?
Author

Sasterawan Negara yang ke-6, 1991. Penerima S.E.A. Write Awards 1997. Tokoh Anugerah Akademik Negara 2008. Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dilahirkan pada 26 Mac 1942. Beliau mendapat pendidikan awal di High School Bukit Mertajam,Bukit Mertajam, Maktab Melayu Kuala Kangsar dan Malayan Teachers College Brinsford Lodge, England. Setelah itu, beliau menuntut di Universiti Malaya, Singapura dan mendapat Ijazah Sarjana Sastera. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke Universiti Michigan, Amerika Syarikat di mana beliau mendapat Ph. D. Kerjayanya bermula sebagai seorang guru di Trade School Butterworth pada tahun 1960 dan kemudiannya meneruskan perkhidmatan perguruannya di beberapa buah sekolah hinggalah menjadi tutor, pensyarah, pensyarah kanan dan seterusnya menjawat beberapa jawatan akademik di universiti tempatan dan antarabangsa.Beliau juga pernah mencatat sejarah sebagai profesor termuda yang pernah dilantik ke jawatan itu pada tahun 1979 ketika berusia 37 tahun. Sekembalinya ke Malaysia, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia. Selama 42 tahun, beliau pernah bertugas di USM,UKM dan UM. Malah pernah dijemput mengajar di Amerika Syarikat, Brunei, Jerman dan Belanda sebagai profesor pelawat dan menerima ‘fellowship’ dari beberapa buah universiti di Amerika Syarikat, Jepun serta Belanda. Fokus penulisan beliau ialah puisi dan kritikan sastera dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta membawa sastera Malaysia menyeberang ke benua Asia, Eropah dan Amerika Syarikat. Beliau telah mencetus penubuhan dua pusat kajian Melayu iaitu di Universiti Islam Riau dan Universiti Jambi. Sajak dan kritikan sastera beliau diterjemah ke dalam 12 bahasa termasuk bahasa Belanda, China, Denmark, Ibrani, Itali, Jepun, Jerman, Korea, Rusia, Sepanyol, Thai, Vietnam,Portugis dan Perancis. Teks sastera klasik yang dikajinya ialah Hikayat Isma Yatim, Sulalat-as-Salatin dan Hikayat Hang Tuah dan lain-lain yang menonjolkan jati diri Melayu.