
kalau cinta itu ada sayapnya... terbanglah dan hinggaplah di hati dia berbisiklah kepada dia yang telah kuberikan hatiku berbisiklah tentang rasaku yang satu serulah kepadanya Cinta, sapalah dia Cinta dengan cintaku pandanglah dia... dan ceritalah Cinta tentang aku yang sedang jatuh hati kepadanya Novel keenam NOOR SURAYA membawa anda menemani Nuha menaiki Ekspres Langkawi ke utara. Perjalanan kereta api pada malam dingin penghujung tahun 2005 telah menemukan Nuha Tajul Ariffin dengan Alang Rebus Tak Empuk. Nuha memang tidak menyukai lelaki berambut Afro itu sejak mula! Titik! Alang juga tidak menyenangi Nuha yang garang mengalahkan anak gergasi itu sejak awal. Titik! Padahal hidup ini rupa-rupanya tidak pernah ada 'titik' sebelum tiba waktunya. Hidup adalah suatu perjalanan waktu!
Author

Lulusan Diploma Pendidikan (KPLI) daripada Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI) ini, pernah menjadi pendidik selama 13 tahun. Noor Suraya juga seorang Munsyi Dewan yang aktif dalam dunia penerbitan. Kini Noor Suraya mengetuai JS Adiwarna Publications & Distributors Sdn. Bhd. sebagai Pengarah Eksekutif di samping bertindak sebagai Pengarah Urusan untuk Jemari Seni Sdn. Bhd. Justeru, Noor Suraya juga bertanggungjawab memantau hal-hal yang berkaitan dengan editorial, pemasaran dan komunikasi di kedua-dua syarikat penerbitan ini. Noor Suraya memiliki ijazah Sarjana Linguistik daripada Universiti Malaya, dan Sarjana Muda Komunikasi (Komunikasi Massa/Pengurusan) daripada Universiti Sains Malaysia. Noor Suraya pilih membaca apa saja – daripada teks klasik, cerita-cerita panji dan warkah-warkah lama sehinggalah tulisan-tulisan kontemporari serta teks-teks ilmiah. Cerita kanak-kanak dan komik selalu menjadi ‘pembuka selera’ membacanya. Bidang yang menjadi perhatian khususnya Noor Suraya tentulah hal-hal yang berkaitan dengan bahasa dan linguistik, sastera dan budaya, sejarah (dan sirah), biologi, juga fasal sosiologi serta antropologi. ~ Noor Suraya telah menambah perbendaharaan kata baharu pada pembaca muda melalui penulisannya yang cermat ~