
Pernah lihat bagaimana seekor hamster berlari dalam gegelung sangkar besi? Betapa lajuya hamster itu berlari tetapi masih berada di titik yang sama, kan? Cuba renungi perjalanan hidup kita dengan denai hamster itu. Apakah kita masih terbelenggu di titik yang sama, tidak kira berapa kuat pun kita berusaha. YA! KITA MASIH DI TEMPAT YANG SAMA! Ironinya, kita rela terbelenggu dengan paradigma ini walau jauh di sudut hati, kita merintih pilu mengenang untung nasib diri yang masih di takuk lama. Kita tahu dan sedar; "... ALLAH tidak akan mengubah sesuatu nikmat uang dikurniakan-NYA kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Al-Anfal:53) Jadi, mengapa kita rela dibelenggu kehidupan sebegini? Di sinilah titik mula kita perlu berhijrah. Merubah paradigma menjadi insan yang lebih hebat dan keluar daripada kepompong kehidupan yang biasa. Percayalah, hijrah itu indah walau tidak mudah. Segala dugaan dan kepayahan dalam meniti denai hijrah, pasti ada balasannya. Hijrahlah... kerana setiap daripada kita berhak menikmati kehidupan yang lebih baik daripada semalam.