
Lantaran terlalu terkenal sebagai penghasil cerpen dan novel, agak sukar untuk khalayak sastera membina keyakinan bahawa Zaharah Nawawi berupaya berpuisi. Yang demikian itu ialah anggapan (umum) sebelum buku ini diterbitkan. Zaharah pernah memenangi hadiah sastera dalam bidang puisi, namun kemenangan itu tidak cukup menampilkannya sebagai penyair kerana dilindungi oleh kekuatannya dalam bidang karya prosa Kini kumpulan puisi Zaharah dapat ditatap. Sajak - sajak yang berjumlah 95 buah ini dapat dibahagikan kepada tiga gaya, iaitu gaya perbandingan, gaya lirik dan gaya lirik campur naratif. Di samping itu, kumpulan ini juga memperlihatkan kemampuan Zaharah menulis sajak simbolik, dan seterusnya sajak pendek ala haiku. Hampir kesemuanya bertingkat kekomunikatifan tinggi.