
ZAHARAH NAWAWI anak kelahiran Kampung Parit Jawa, Mukim Empat, Batu Pahat Johor (5 Mei 1940) membesar dan memungut pengalaman di luar kampung halaman. Mulai mengasah bakat di bidang penulisan sejak berusia 12 tahun, dan semenjak itu tidak pernah berhenti menulis sehingga kini. Pencapaian tertinggi yang diraih hasil penat lelah menulis ialah menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) pada September 1996 di Bangkok, Thailand. Dan Hadiah Karyawan Sastera Johor, Hadiah Sastera Johor Darul Ta’zim (1999). Dari 1997 hingga 1998, Zaharah menjadi Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka dengan menyiapkan buku proses kreatifnya berjudul Merentas Laluan. Pernah berkhidmat di Utusan Melayu sebagai wartawan di Mingguan Malaysia dan Anggota Sidang Pengarang majalah WANITA—dari 1968 hingga 1976. Jawatan terakhir Zaharah di Utusan ialah sebagai Ketua Redaksi majalah MASTIKA dari 1975-1976. Setelah meninggalkan Kumpulan Utusan, Zaharah berkhidmat pula di Berita Publishing, (anak syarikat Kumpulan The New Straits Times) dari 1976 hingga 1985. Jawatan terakhirnya di sana ialah sebagai Editor Umum Penerbitan Berbahasa Malaysia (Editor General Bahasa Publications) yang merangkumi semua penerbitan majalah serta buku berbahasa Melayu di Berita Publishing. Dari 1985 hingga 1986 Zaharah menjadi Editor Urusan di Pustaka Cipta Sdn. Bhd. Zaharah meninggalkan Pustaka Cipta setelah mendapat Dana DERMA CIPTA Dewan dari Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membuat penyelidikan tentang perjuangan Panglima Salleh Selempang Merah yang mengetuai orang kampung membenteras kegiatan dan kezaliman komunis Bintang Tiga dalam tahun 1945 di Batu Pahat, yang kemudian ditulis dalam bentuk novel menggunakan judul Panglima Salleh Selempang Merah. Pada 1988, Zaharah menerima pelawaan Pakar Sakit Puan terulung, Dr. Hamid Arshad yang waktu itu menjadi Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk menjadi editor majalah Timang keluaran LPPKN. Zaharah berkhidmat di badan berkanun tersebut sehingga 1995, apabila beliau memilih untuk menjadi penulis sepenuh masa. Zaharah menulis novel terpanjang di Malaysia (1351 halaman) berjudul Anugerah (1995), mengenai sejarah perjuangan orang Melayu menentang Malayan Union dan seterusnya menuntut kemerdekaan. Para pengkaji menyifatkan Anugerah bukan sekadar sebuah novel sejarah, tetapi juga novel politik dan femenisme iaitu tiga dalam satu. Novel ini berakhir dengan perisytiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957. Setakat ini belum ada novel lain berjaya memecahkan rekod Anugerah terbitan DBP itu. Novel Anugerah jugalah yang membawakan tuah kepada penganugerahan Sea Write Arawd di Bangkok Thailand. Di samping itu Anugerah juga sudah beberapa kali diteaterkan. Beberapa tokoh sastera mengakui novel Anugerah sebagai maha karya Zaharah Nawawi. Dari 1997 hingga 1998, Zaharah menjadi Karyawan Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka dengan menyiapkan buku proses kreatifnya berjudul Merentas Laluan. Semenjak 1989 menerusi cerpen Suara Ombak (Dewan Budaya) dan Emak Tak Marah Lagi, (Mingguan Malaysia) beliau banyak memenangi hadiah. Terakhir beliau memenangi hadiah utama Hadiah Sastera Darul Ta’zim V menerusi kumpulan puisi Warna dan Wajah, dan cerpen Suara yang sarat dengan makna yang tersirat. Dengan cita-cita mahu melatih penulis pelapis supaya menjadi penulis yang benar-bernar berwibawa, mulai 1993 Zaharah mengadakan bengkel-bengkel penulisan meliputi beberapa genre, termasuk novel, cerpen, puisi, kritikan, drama radio, bahasa, undang-undang dan rencana. Pada November 1997, Zaharah menubuhkan kelab penulisannya sendiri dengan nama KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) yang ahlinya terdiri daripada penulis/peserta yang pernah mengikuti bengkel-bengkelnya. Dengan itu tercatatlah dalam sejarah kesusasteraan dan penulisan negara bahawa Zaharah Nawawi adalah satu-satunya penulis/sasterawan yang berdikari melatih penulis pelapis tanpa dinaungi mana-mana pihak. Dan